Harian Metro

Nicol mudah benam Omneya untuk ke final

- Aida Adilah Mat aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Datuk Nicol David melakar kemenangan mudah ke atas pemain Mesir Omneya Abdel Kawy untuk mara ke perlawanan akhir Kejohanan Jemputan Skuasy Wanita semalam.

Kejohanan di Bukit Jalil itu menyaksika­n Nicol yang menduduki ranking keempat dunia menang 11-4, 11-4, 11-6 dalam tempoh 24 minit.

Bagaimanap­un Nicol menafikan kemenangan ke atas Omneya yang berada di ranking kelapan dunia itu.

“Ia bukan satu kemenangan mudah. Omneya seorang lawan yang sukar justeru saya tidak boleh membiarkan dia menguasai permainan.

“Jadi saya perlu memberi tekanan seawal set pertama lagi agar dia kehilangan rentak dan mengambil peluang di atas kesilapan yang dilakukan,” katanya kali terakhir menang ke atas Omneya dalam pertarunga­n lima set di Terbuka British Mac lalu.

Tegas Nicol dia tidak menganggap kejohanan ini sebagai mudah dan setiap perlawanan amat penting.

“Semua pemain cukup hebat dan sebab itulah saya beraksi dalam kejohanan ini. Saya akan sentiasa memberi yang terbaik kerana ia penting untuk saya mengekalka­n momentum permainan,” katanya.

Pada perlawanan separuh akhir kedua semalam menyaksika­n pemain India Joshna Chinappa menewaskan Joelle King 8-11, 5-11, 11-8, 11-4, 11-9 dalam tempoh 56 minit.

Joshna akan menentang Nicol pada perlawanan akhir jam 6 petang ini.

Sementara Omneya akan turun bertemu Joelle untuk penentuan tempat ketiga/keempat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia