Harian Metro

‘LATIF MAMPU CAPAI 8 METER’

- Aziman Rosdi dan Ferzalfie Fauzi sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur

Bekas atlet lompat jauh negara Zaki Sadri percaya atlet paralimpik negara Abdul Latif Romly mampu mencapai jarak lompatan 8 meter sekali gus memecahkan rekod lompat jauh kebangsaan milik Josbert Tinus 7.88m dalam tempoh dua tahun lagi.

Beliau berkata, Latif memiliki kemampuan setanding atlet normal dan dengan usianya yang baru 19 tahun, pemenang pingat emas temasya Sukan Paralimpik Rio, Brazil itu adalah prospek terbaik yang dimiliki negara ketika ini.

“Ia pencapaian yang cukup hebat kerana usianya masih muda. Malah rekod lompatan yang dilakukann­ya itu (7.60m) lebih baik daripada atlet normal dan saya rasa dia kini berada di ranking nombor satu di Malaysia dalam acara itu.

“Saya percaya Latif mempunyai kemampuan untuk mencapai catatan 8 meter namun dia perlu perbaiki teknik lompatanny­a. Dari apa yang saya lihat semalam (kelmarin) dia tidak boleh melakukan kesalahan kecil.

“Dia kena menggunaka­n sepenuhnya papan pemijak itu dan menambah ketinggian ketika ‘take off’ sekurang-kurangnya ke tahap 45 darjah, kerana dari apa yang saya lihat semalam tak cukup tinggi sekadar 25 ke 30 darjah.

“Kepantasan larian juga perlu ditingkatk­an untuk melakukan catatan 8 meter sekurang-kurangnya 10.50 saat, tapi saya percaya dengan tahap fizikal dan teknik yang dia miliki sekarang, dalam tempoh dua tahun lagi dia boleh capai jarak itu,” kata Zaki kepada Arena Metro semalam.

Latif kelmarin menambah kegembiraa­n rakyat Malaysia apabila bukan saja merangkul pingat emas di Paralimpik Rio dalam acara lompat jauh kategori F20 (masalah pembelajar­an) malah meleburkan rekod dunia miliknya 7.35m ketika menjuarai Kejohanan Dunia Doha 2015.

Ia emas ketiga selepas kejayaan pelari pecut negara Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi (100m T36) dan Ziyad Zolkefli (lontar peluru F20).

Zaki yang merangkul lapan emas dalam tujuh penyertaan Sukan SEA dalam acara lompat kijang dan lompat jauh menegaskan harapan untuk melihat Latif memecahkan rekod itu boleh dicapai jika atlet Perlis itu diberikan perancanga­n yang betul.

“Saya yakin Latif di bawah jagaan yang betul oleh jurulatih Syahrul Amri (Mohd Suhaimi) cuma apa yang perlu dilakukan adalah penambahba­ikan dengan memberi lebih banyak sokongan kepadanya. Jika sebelum ini program Latif

„ Zaki mahu atlet itu perbaiki teknik lompatan

banyak di bawah paralimpik, mungkin KOM (Kesatuan Olahraga Malaysia) boleh memberikan kuota latihan atau pertanding­an atlet normal kepadanya.

“Saya tak nampak sebarang kekurangan yang dimiliki Latif dan bagi atlet lain, mereka perlu lihat ini satu persaingan sihat dan perlu bangkit untuk mencapai prestasi lebih baik kerana kita sepatutnya sudah lama mencapai jarak 8 meter itu,” jelasnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia