Harian Metro

Mulut tak henti baca tiga surah

- Zul Ikhwan Muhammad am@hmetro.com.my

„ Nelayan ditemui selamat selepas 6 jam terapung di laut

“Sepanjang enam jam terapung, saya tidak berhenti membaca tiga Kul (al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas),” kata Muhamad Saifudin Mamat, 32, yang ditemui selamat oleh nelayan tempatan selepas terjatuh dari bot pukat tunda dinaikinya di perairan Rompin, 15 September lalu.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, Saifudin mengakui dia sempat mencapai pelampung ketika terjatuh, namun arus deras dan cuaca gelap menyebabka­n tiga rakannya yang berada di atas bot tidak sempat membantu.

Katanya, keadaan panik menyelubun­gi dirinya, bahkan dia turut kekejangan otot kaki hingga gagal berenang.

“Ketika itu saya terlalu panik, ditambah pula kejang otot kaki menyebabka­n saya gagal berenang dan hanya berpaut pada pelampung yang sempat dicapai.

“Sepanjang berada di tengah laut, saya hanya terbayang wajah isteri serta keluarga di rumah,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, selepas beberapa jam berada di laut, dia cuba menjerit meminta bantuan kepada dua bot nelayan yang melalui kawasan itu namun arus deras serta cuaca gelap menyebabka­n jeritannya tidak didengari.

Katanya, selepas enam jam terapung, nasibnya baik apabila bot nelayan yang kebetulan melalui kawasan itu menemui serta menyelamat­kannya.

“Ketika berada di dalam bot itu, kami gagal berhubung dengan bot lain serta pihak berkuasa.

“Keadaan itu menyebabka­n saya menumpang di dalam bot berkenaan sebelum dipindahka­n ke bot lain milik nelayan dari Endau yang menjalanka­n aktiviti menangkap ikan selepas lebih 12 jam di dalam bot itu.

“Bagaimanap­un, saya mengikut bot itu selama empat hari menangkap ikan di laut kerana menghadapi masalah perhubunga­n sebelum tekongnya dapat menghubung­i pihak berkuasa yang menjalanka­n gerakan mencari dan menyelamat.

“Pada kedudukan 24 batu nautika barat laut Pulau Tioman itu, saya dibawa ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia Tanjung Gelang, Kuantan,” katanya.

Dia bersyukur kerana diberikan peluang kedua untuk meneruskan kehidupan dan bertekad tidak mahu turun ke laut lagi selepas menempuh pengalaman yang sukar dilupakan itu.

Menerusi ihsan Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia (APMM), mangsa dihantar pulang dan selamat tiba di rumahnya di Jalan Haji Ariffin, di sini, jam 1.30 pagi semalam.

Sementara itu, isteri Saifudin, Ariffah Osman, 31, berkata, sepanjang kehilangan suaminya, dia sekeluarga tidak berhenti menangis, malah pelbagai ikhtiar dilakukan termasuk solat hajat serta tidak putus-putus berdoa supaya suami selamat.

“Hati kami sekeluarga kuat mengatakan suami masih hidup, malah sepanjang enam hari dia hilang, Allah beri petunjuk dengan ketenangan hati serta firasat suami selamat,” katanya yang bercadang mengadakan majlis kesyukuran beberapa hari lagi.

 ??  ?? MUHAMAD Saifudin memeluk adiknya, Muhamad Syawaludin (kanan).
MUHAMAD Saifudin memeluk adiknya, Muhamad Syawaludin (kanan).
 ??  ?? MUHAMAD Saifudin memeluk ibunya ,N orhayati Ariffin sebaik tiba di rumahnya, semalam.
MUHAMAD Saifudin memeluk ibunya ,N orhayati Ariffin sebaik tiba di rumahnya, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia