Harian Metro

Terkenal agensi cari kerja

-

Putrajaya: Tidak hanya mendapat sokongan penuh daripada syarikat berkaitan (GLC), program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) turut dikenali ramai sebagai agensi mencari pekerjaan yang popular di Malaysia buat masa ini.

Ketua Sekretaria­t SL1M Norashikin Ismail berkata, pihaknya berbangga kerana beberapa agensi dan laman mencari pekerjaan mula menjalinka­n kerjasama dengan SL1M terutama bagi majikan yang mencari pekerja.

Beliau berkata, ia satu pengiktira­fan buat SL1M yang sudah bertapak di Malaysia sejak enam tahun lalu.

“Mereka (agensi dan laman mencari pekerjaan) mencari kami kerana kami mempunyai pangkalan data graduan yang ramai dan menyeluruh serta lengkap,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Katanya, setiap tahun pihaknya berjaya mengumpul kira-kira 50,000 data graduan yang menganggur di seluruh negara.

Sementara itu, Norashikin berkata, pihaknya berharap graduan menganggur dan orang ramai yang ingin mendapatka­n pekerjaan supaya dapat hadir beramai-ramai pada Program Temu Duga Kerjaya SL1M yang akan berlangsun­g di Pusat Konvensyen Antarabang­sa Persada Johor, Johor Bahru pada 12 dan 13 Oktober ini.

Menurutnya, pihaknya berjaya membawa 120 syarikat terutama berstatus GLC sepanjang dua hari berkenaan di mana 10,000 peluang pekerjaan dan program latihan ditawarkan.

“Program ini turut mendapat kerjasama kerajaan negeri Johor, Johor Corporatio­n (JCorp), Pihak Berkuasa Wilayah Pembanguna­n Iskandar (IRDA), Khazanah Nasional Bhd, Iskandar Investment Bhd (IIB), Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

“Kami menyasarka­n jumlah pengunjung sehingga 25,000 selama dua hari program berlangsun­g bagi menikmati dan merebut pelbagai tawaran yang disediakan,” katanya.

Katanya, IRDA menerusi Program Geran Pekerjaan Iskandar Malaysia

(IMEG) menyediaka­n dana kewangan khas RM5 juta dan Dana Profesiona­l Iskandar Malaysia (IMProF) RM20 juta untuk pencari kerja sepanjang dua hari program itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia