Harian Metro

Sindiket judi tanpa lesen lumpuh

-

Ipoh: Sindiket judi ekor tanpa lesen di tiga kawasan di dua daerah di negeri ini lumpuh selepas Skuad Taktikal Khas Antimaksia­t, Perjudian dan Gangsteris­me (STAGG) Bukit Aman menyerbu 20 premis dan menahan 27 ejen judi serta lima pembeli.

Dalam serbuan serentak di kedai runcit, kedai telekomuni­kasi, restoran serta rumah jam 5 petang kelmarin itu, STAGG merampas wang tunai RM20,960 serta 23 pencetak mudah alih, 35 helai kertas judi dan 751 kertas kosong.

Ketua Penolong Pengarah STAGG Senior Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, STAGG menyerbu tiga kawasan iaitu Tanjung Rambutan, Chemor di Ipoh dan Kampar selepas menerima aduan orang awam.

Menurutnya, dalam serbuan itu, 27 ejen judi ekor haram dan lima pembeli ditahan iaitu 18 lelaki dan 14 wanita berusia 31 hingga 62 tahun.

Katanya, soal siasat mendapati lima penganjur sindiket itu yang dipercayai aktif menjalanka­n kegiatan mereka sejak dua hingga lima tahun.

“Selain menggunaka­n kedai runcit, kedai telekomuni­kasi dan restoran sebagai tempat kegiatan ini, sindiket dipercayai menjual dan mengutip nombor pertaruhan secara bermotosik­al dari rumah ke rumah atau restoran.

“Hasil kutipan pertaruhan dipercayai boleh mencecah RM200,000 sehari dan lebih RM1.52 juta setahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Menurutnya, semua yang ditahan diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dan IPD Kampar bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4A(a), Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 9(1) Akta Judi Rumah Terbuka 1953.

Khairi berkata, polis menahan seorang pelanggan kerana disyaki menjadi ahli kongsi gelap dan kes disiasat mengikut Seksyen 43, Akta Pertubuhan 1966.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia