Harian Metro

Kehadiran Mat Yo amat diperlukan

- Malik Muhamad sukan@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Bekas pasukan gergasi Pantai Timur, Terengganu yang kini bergelut untuk mengekalka­n kedudukan dalam saingan Liga Super musim depan menuntut jentera serangan yang dibarisi Norshahrul Idlan Talaha (Mat Yo) dan Bogdan Milic supaya lebih tajam dalam misi mencatat kemenangan ketika bertemu Kedah di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) Gong Badak malam esok.

Malah, pengendali skuad Penyu Mustaffa Kamal Abd Wahab turut mengharapk­an jentera tengah supaya lebih kreatif dan mampu merencana gerakan dengan lebih berkesan selain melakukan hantaran tepat serta berkualiti kepada penyerang untuk mencetak seberapa banyak jaringan.

“Malam esok boleh dikatakan perlawanan penentu buat Terengganu sama ada akan terus kekal dalam saingan Liga Super atau tergelinci­r ke Liga Perdana kerana kami berada dalam zon penyingkir­an.

“Justeru, apa yang kami harapkan dengan kehadiran semula Mat Yo yang sudah pulih daripada kecederaan, barisan depan perlu lebih berkualiti untuk menghasilk­an jaringan selain jentera tengah perlu lebih kreatif,” kata Mustaffa.

Skuad yang terkenal dengan jolokan Peteh Terengganu Peteh itu kini berada di kedudukan tenat iaitu kedua tercorot liga dengan mengutip 19 mata dan hanya dua mata mengatasi Pahang.

Andai gagal mengutip tiga mata di laman sendiri malam esok, lambaian untuk ke Liga Perdana pasti semakin jelas buat Terengganu yang tewas 0-1 kepada skuad Helang Merah itu, 16 Februari lalu.

Mengulas lanjut, Mustaffa yang masih percaya dengan kemampuan pemainnya masih belum mahu menekan butang panik sebaliknya menuntut anak buahnya bangkit memburu tiga mata untuk melonjak keluar daripada zon bahaya.

“Menjelang pertemuan dengan Kedah, sudah pasti saya akan melakukan sedikit rombakan untuk menyaingi pasukan lawan yang masih segar selepas membelasah Negeri Sembilan 5-0 dalam saingan suku akhir Piala Malaysia. Saya harap pemain tidak melakukan kesilapan mudah, fokus dan lebih penting beraksi sebagai satu pasukan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia