Harian Metro

Ambil pakaian mangsa letupan

-

Petaling Jaya: Pakaian dua kanak-kanak yang melecur akibat letupan ‘gas putih’ di stor di Pangsapuri Gugusan Dahlia, Seksyen 8, Kota Damansara, Ahad lalu, diambil pasukan unit forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengenal pasti jenis bahan kimia yang disimpan di stor itu.

Ketua Polis Selangor Datuk Abu Samah Mat berkata, polis menahan dua lelaki berusia 30-an malam kelmarin yang bertugas sebagai tukang cuci di blok 4 pangsapuri itu bagi membantu siasatan.

“Dua individu itu tinggal di pangsapuri berkenaan dan soal siasat mendapati seorang daripada mereka mengaku menyimpan minyak petrol di dalam stor berkenaan.

“Mereka juga mengaku sering menggunaka­n stor itu untuk menyimpan pelbagai barangan lain,” katanya.

Katanya, siasatan polis di lokasi kejadian sukar menemui bukti kukuh kerana stor berkenaan dicuci bersih dan dikemas sebelum ketibaan unit forensik.

“Malah, sisa letupan dibuang ke dalam tong sampah disediakan pihak pengurusan.

“Sebab itu selain sisa letupan di lokasi, pakaian mangsa turut diambil untuk siasatan,” katanya.

Katanya, polis menjalanka­n siasatan dalam semua sudut, namun menolak kejadian itu ada kaitan dengan kumpulan militan atau pengganas.

Semalam, Harian Metro melaporkan letupan gas misteri menyerupai bom fosforus yang berlaku mendadak di pangsapuri itu menyebabka­n dua kanak-kanak melecur teruk sejurus kulit muka serta badan mereka terdedah dengan bahan kimia itu.

Dalam kejadian itu, mangsa tiga beradik berusia tujuh, sembilan dan 16 tahun sedang menaiki tangga untuk pulang ke rumah di tingkat satu pangsapuri.

Letupan itu berpunca daripada bahan kimia yang disimpan di dalam sebuah stor di bawah tangga blok 4, pangsapuri terbabit yang dipercayai milik penduduk.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia