Harian Metro

Dua lagi individu ditahan

-

Kota Kinabalu: Dua lagi individu termasuk seorang ahli perniagaan bergelar Datuk ditahan Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas didapati terbabit dengan kes rasuah projek pembinaan infrastruk­tur bernilai RM3.3 bilion.

Datuk berusia 55 tahun dan akauntan syarikatny­a yang berumur 50 tahun ditahan semalam, hasil siasatan awal sejurus penahanan pengarah serta timbalan pengarah sebuah agensi kerajaan negeri, kelmarin.

Difahamkan, suspek (Datuk) adalah adik kepada timbalan pengarah terbabit. Dia juga pemilik kepada sebuah syarikat yang didakwa terbabit dalam projek pembinaan di bawah seliaan agensi berkenaan.

Timbalan Ketua Pesuruhjay­a (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki berkata, kesemua suspek direman seminggu bermula semalam bagi membantu siasatan.

“Akauntan syarikat terbabit dipercayai boleh membantu siasatan berkaitan pihak berkaitan menyelengg­ara wang diperoleh secara rasuah.

“Semua suspek dikenakan perintah tahanan reman di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, petang tadi (semalam),” katanya kepada media, semalam.

Perintah tahanan reman dikeluarka­n Majistret Stephanie Sharron Abbie.

Menurut Azam, suspek disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM, Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan Akta Pengubahan Wang Haram.

Selain itu, kes turut disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM dan Seksyen 132 Akta Syarikat 1965.

“Perbuatan mereka ini bukan saja menyalahi undang-undang tetapi menutup periuk nasi puluhan kontraktor lain yang tidak diberikan peluang untuk menyertai tender agensi berkenaan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia