Harian Metro

‘Tak sanggup lihat penghuni dikasari’

-

Melaka: “Saya ambil keputusan berhenti kerja, 1 Oktober lalu, kerana tidak lagi sanggup melihat penghuni di situ dikasari dan dimaki hamun. Malah, ada bertindak di luar batasan apabila memukul warga emas terbabit.”

Demikian kata bekas kakitangan sebuah pusat jagaan orang tua di Klebang, di sini, yang berhenti kerja akibat kurang senang dengan perbuatan pengusaha pusat jagaan terbabit.

Malah, wanita berusia 29 tahun yang enggan dikenali itu, turut membuat satu laporan di Balai Polis Batang Tiga, 12.45 tengah hari semalam dan berharap pihak berkuasa melakukan sesuatu bagi menghentik­an perkara itu.

“Sejak bekerja di pusat jagaan orang tua itu, saya kerap melihat penjaga bertugas memukul, memaki hamun dan mengasari penghuni, malah barangan didermakan turut dijual,” katanya.

Malah kejadian itu turut mendapat perhatian netizen seluruh negara apabila video berdurasi 11 saat merakamkan kejadian individu terbabit memukul seorang wanita warga emas viral di Facebook.

Video itu memaparkan kekasaran kakitangan lelaki yang memegang baju di bahagian belakang badan wanita terbabit sebelum menampar kepala warga emas itu yang duduk di atas lantai sebanyak tiga kali.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia