Harian Metro

‘Pembeli’ ghaib macam pelesit

- Nadzreen Shah Mat Salim am@hmetro.com.my

„ Lelaki pura-pura minat kebas Iphone 7

“Macam pelesit dia hilang. Sekelip mata dia melarikan telefon pintar dan kabel pengecas milik saya sebaik saya menoleh ke belakang,” kata Ainul Hafiz Jaafar, 18.

Dalam kejadian jam 3.30 petang kelmarin, mangsa tergamam apabila telefon pintar model Iphone7 bernilai RM3,900 miliknya dilarikan pelanggann­ya di Blok F, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda, Jalan Ipoh, di sini.

Menurutnya, kejadian berlaku selepas dia mengiklank­an telefon pintar untuk dijual di laman web sebelum seorang lelaki menghubung­inya dan menyatakan minat mahu membeli telefon pintar itu.

“Dia meminta saya berjumpa dengannya di kawasan pangsapuri berkenaan. Saya ditemani seorang rakan, Ismail Alif, 18, kemudian pergi ke pangsapuri itu sebelum lelaki itu muncul menaiki motosikal model Yamaha LC135,” katanya.

Ainul Hafiz berkata, dia tidak mencurigai lelaki itu berikutan lelaki itu menunjukka­n minat untuk membeli telefon pintar yang dibelinya di Singapura.

Dia yang juga peniaga dalam talian berkata, lelaki itu kemudian memberitah­u mahu mencuba kabel pengecas telefon pintar berkenaan di surau berhampira­n untuk melihat sama ada berfungsi atau tidak.

“Saya hanya mengikut saja kemahuanny­a kerana menyangka dia benar-benar mahu membeli telefon pintar itu. Malah dia meminta pen dan salinan Mykad saya,” katanya.

Dia yang berpaling seketika untuk mengambil pen dan Mykad di dalam kereta bagaimanap­un terkejut apabila lelaki itu tiba-tiba ‘ghaib’ bersama telefon pintar miliknya itu.

“Lebih pelik apabila tiada kedengaran bunyi motosikal lelaki itu yang berada di parkir kawasan berhampira­n.

“Saya dan rakan berusaha mencari lelaki itu di kawasan berhampira­n namun gagal,” katanya yang segera membuat laporan polis di Balai Polis Jinjang di sini.

Menurutnya, dia melakukan semakan di laman web Carousell bagi memastikan sama ada telefon pintar dicuri itu cuba dijual semula penjenayah itu.

“Kebetulan saya mendapati seorang pemilik akaun cuba menjual telefon pintar menyerupai telefon saya yang dicuri itu.

“Saya segera memaklumka­n kepada polis dan satu penyamaran dilakukan untuk menjerat penjenayah. Hasilnya polis menahan seorang lelaki yang dipercayai membeli telefon pintar berkenaan dari individu yang mencurinya daripada saya,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia