Harian Metro

Hormati perbezaan budaya negara lain

-

Putrajaya: “Jika berada di negara lain, tolong hormati undang-undang dan budaya negara itu kerana setiap negara mempunyai perbezaan dari segi budaya dan cara hidup,” kata Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan sembilan warga Australia yang bertindak biadab dengan memakai seluar dalam bercorak Jalur Gemilang pada perlumbaan Grand Prix (GP) Formula Satu (F1) Malaysia di Litar Antarabang­sa Sepang (SIC), Sepang Ahad lalu.

Dr Mahathir berkata, tindakan yang dilakukan sembilan individu itu dipandang tidak elok oleh masyarakat di negara ini kerana boleh dianggap menghina.

“Budaya kita berbeza dari Australia, di negara lain mungkin mereka boleh berjalan dengan memakai seluar dalam, tidak jadi masalah kerana mereka sudah biasa.

“Tetapi di sini (Malaysia) jika ada yang berjalan sambil bogel, orang akan anggap sama ada individu itu tidak betul atau menghina masyarakat di situ,” katanya di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, semalam.

Dr Mahathir berkata, perbuatan mereka jelas menghina negara apatah lagi membabitka­n Jalur Gemilang.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia