Harian Metro

Tugas getir Fossati hadapi Korea Selatan

-

Doha: Hanya 12 hari memegang jawatannya, Jorge Fossati berdepan ujian sulung sebagai jurulatih Qatar apabila pasukannya beraksi di laman lawan menentang Korea Selatan pada aksi genting kelayakan Piala Dunia 2018, hari ini.

Tuan rumah Piala Dunia 2022 yang bercita-cita besar itu menghuni tangga keenam dan tercorot Kumpulan A selepas tewas dua perlawanan pertama mereka, kepada Iran di gelanggang lawan dan paling mengejutka­n di laman sendiri kepada Uzbekistan, pada pusingan ketiga kelayakan AFC bagi Russia 2018.

Selain gagal meraih sebarang mata, Qatar juga belum menyumbat sebarang gol dalam kumpulan itu yang mana dua pasukan teratas layak secara automatik.

Sebelum berlepas ke Korea Selatan, Fossati berkata, beliau masih berharap Qatar akan layak ke Piala Dunia buat julung kali.

“Saya percaya Qatar boleh layak. Ia mungkin amat sukar tapi saya optimis,” ujar pengendali berusia 63 tahun itu, yang mengakui tangga ketiga sekali gus layak ke play-off mungkin peluang terbaik.

Permulaan buruk itu menyaksika­n pengendali sebelumnya yang juga warga senegara dari Uruguay, Jose Daniel Carreno dipecat dua minggu lalu.

Fossati, bekas pengurus juara liga Qatar, Al Rayyan, bagaimanap­un bergantung harap kepada skuad Carreno, menyerap hanya seorang pemain baharu dalam skuad 23 pemainnya.

Pertahanan mungkin menjadi kunci di Suwon, sekalipun Fossati menyaksika­n pasukannya menundukka­n Serbia 3-0 pada perlawanan persahabat­an secara tertutup di Doha minggu lalu dengan penyerang kelahiran Uruguay, Sebastian Soria menyumbang hatrik. - AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia