Tersepit bersama pistol, dadah
Orang ramai yang cuba membantu mengeluarkan dua mangsa kemalangan yang tersepit di dalam kenderaan pacuan empat roda dikejutkan dengan penemuan senjata api bersama satu peket plastik dipercayai mengandungi dadah di Jalan FELDA Jengka 13, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 8.30 pagi itu, kedua-dua suspek berusia 21 dan 28 tahun berasal dari Kampung Hulu Retang Kuala Tembeling, Jerantut dan FELDA Kota Gelanggi 3, Jerantut cedera selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas dan terbalik di tepi jalan.
Ketua Polis Daerah Maran Deputi Superintendan Mat Rizal Mat Radzi berkata, kejadian itu disedari beberapa orang awam yang melalui laluan berkenaan sebelum cuba membantu mangsa.
“Orang awam berhenti di tepi jalan dan bergegas mengeluarkan kedua-dua suspek yang masih berada di dalam kenderaan berkenaan sebelum menemui satu peket plastik mengandungi dadah
Orang awam bantu mangsa nahas terkejut
serta sepucuk pistol pada badan salah seorang daripada suspek,” katanya.
Beliau berkata, sepasukan anggota Unit Peronda Polis (MPV) Balai Polis Jengka bergegas ke lokasi kejadian selepas mendapat laporan berhubung kejadian itu.
Menurutnya, kedua-dua suspek dihantar ke Hospital Bandar Jengka untuk mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran untuk siasatan lanjut.
Katanya, polis merampas pistol berwarna hitam dan pemeriksaan yang dilakukan mendapati senjata itu adalah tiruan yang menggunakan peluru bebola besi.
“Polis masih menjalankan siasatan jumlah berat dadah yang dibawa suspek namun tidak menolak kemungkinan bahan terlarang itu untuk kegunaan suspek,” katanya.
Mat Rizal berkata, siasatan awal mendapati, suspek yang berusia 28 tahun mempunyai enam rekod lampau membabitkan dadah, dua kes Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1983 dan kes jenayah mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana amuk.
“Seorang lagi suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan polis turut mengesahkan kenderaan dinaiki suspek dilaporkan hilang di Jerantut,” katanya.
Katanya, kedua-dua suspek ditahan reman di lokap Balai Polis Maran selama empat hari untuk membantu siasatan berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960.