Sekolah boleh tutup dua hari lagi
Kuala Lumpur: Sekolah Menengah Kebangsaan Balung, Tawau, Sabah boleh ditutup sehari dua lagi sekiranya keadaan belum mengizinkan bagi meneruskan sesi persekolahan seperti biasa susulan insiden helikopter Nuri milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terhempas di kawasan sekolah itu, pagi Selasa lalu.
Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P Kamalanathan berkata, pihak pengurusan sekolah dibenarkan berbuat demikian namun perlu memaklumkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah.
Kata beliau, berdasarkan laporan awal, pihak kementerian mengambil keputusan menutup sekolah selama dua hari bagi tujuan pembersihan dan mengeluarkan helikopter Nuri dari kawasan sekolah terbabit.
“Sekolah terbabit sepatutnya kembali dibuka hari ini (Khamis) namun difahamkan kerja mengeluarkan helikopter dan pembersihan giat dijalankan.
“Sekiranya perlu dan mengambil kira faktor keselamatan pelajar, pihak pengurusan sekolah boleh menutup sekolah sehingga benar-benar selamat sebelum meneruskan sesi pembelajaran,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Inovasi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, semalam.
Menurut Kamalanathan lagi, selepas Kementerian Pertahanan mengeluarkan helikopter dari kawasan sekolah terbabit, pihaknya melakukan analisis terperinci mengenai kos diperlukan untuk membaik pulih kerosakan berkenaan.
Katanya kos membaik pulih bangunan sekolah itu ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.
“Kerosakan bangunan sekolah berkenaan dibaik pulih segera bagi memastikan pembelajaran pelajar tidak terjejas.
“Kementerian beri jaminan 317 calon Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) sekolah terbabit, boleh mengambil peperiksaan di sekolah itu minggu depan tanpa menumpang di dewan peperiksaan lain,” katanya.