Harian Metro

Burung tukar nasib

- Mohd Jamilul Anbia Md Denin am@hmetro.com.my

„ Enam lelaki warga Indonesia simpan serindit ditahan

Burung serindit atau turut dikenali sebagai ‘burung tilik nasib’ kini menjadi buruan utama sindiket yang dikesan giat menangkap burung itu untuk diseludup ke negara jiran Indonesia.

Difahamkan harga seekor burung Serindit tempatan boleh mencecah harga Rupiah 200,000 (RM63) seekor jika dijual di negara jiran.

Burung serindit tempatan mendapat permintaan tinggi berikutan mempunyai bunyi kicauan irama yang panjang, tajam dan keras berbanding burung lain.

Kegiatan menangkap burung serindit itu dibongkar hasil tindakan Pasukan Wildlife Crime Unit (WCU) Jabatan Perlindung­an Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) yang mengadakan operasi Op Sabit bagi memburu sindiket itu.

Ketua Pengarah PERHILITAN, Abdul Kadir Abu Hashim berkata, operasi diketuai pegawai penguatkua­sa Celescoria­no Razond itu bertujuan menjejaki sindiket didalangi sekumpulan warga asing Indonesia yang dikesan aktif mengumpul dan menyeludup hidupan liar dilindungi.

Menurutnya, hasil risikan dilakukan membolehka­n pihaknya menyerbu sebuah pondok di kawasan ladang kelapa sawit di Semenyih, Selangor jam 4.12 petang, Khamis lalu.

“Hasil serbuan itu, anggota WCU berjaya menahan enam lelaki warga Indonesia berusia antara 25 hingga 45 tahun. “Pemeriksaa­n di sekitar pondok itu menemui 59 ekor burung serindit dan seekor burung murai batu. Semua burung itu dikurung dalam beberapa sangkar khas,” katanya.

Menurutnya, semua burung itu dipercayai sedang menunggu masa untuk diseludup ke luar negara.

“Pihak kami mengesyaki tiga premis yang diserbu itu adalah lokasi pengumpula­n burung berjadual mengikut Akta Pemulihara­an Hidupan Liar 2010.

“Kejayaan operasi ini hasil daripada pemantauan dan risikan dilakukan selama seminggu. Operasi ini adalah inisiatif Perhilitan dalam memerangi jenayah hidupan liar,” katanya.

Kadir berkata, semua individu itu ditahan dan didakwa mengikut Seksyen 60 (1) (a) Akta Pemulihara­an Hidupan Liar 2010 iaitu memburu atau menyimpan mana-mana hidupan liar yang dilindungi tanpa lesen.

“Jika sabit kesalahan mereka boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarak­an selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Sebelum ini, PERHILITAN Johor berjaya menumpaska­n sindiket penyeludup­an burung murai melalui jalan laut secara besar-besaran dengan merampas 468 burung murai batu di kawasan Perairan Tanjung Lompat, Bandar Penawar.

Empat suspek lelaki ditahan selepas dikesan menyeludup burung bernilai hampir RM400,000 itu ke Batam, Indonesia.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia