Bisik pada rakan
Jemaah haji mahu disemadikan di Makkah
“Rupa-rupanya dia mahu disemadikan di Makkah dan saya hanya mendengarnya daripada rakan kerana tidak pernah diberitahu sebelum ini,” kata Misiah Ismail, 49, isteri kepada seorang jemaah haji negara yang meninggal dunia di Tanah Suci, bulan lalu.
Anuar Md Isa, 54, menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital King Faisal (HKF), Makkah akibat pendarahan dalam otak jam 4 pagi (waktu Arab Saudi) pada 25 September lalu.
Menurut Misiah, suaminya mula mengadu demam ketika tiba di Madinah, 15 Ogos lalu dipercayai akibat perubahan cuaca namun masih sempat mengerjakan umrah.
“Tiga hari sebelum mengerjakan ibadah wukuf, dia kelihatan semakin lemah dan kemudian dimasukkan ke hospital untuk menerima rawatan.
“Pada waktu itu, dia berpesan supaya menjaga diri dan empat anak kami sebaik-baiknya selain sentiasa mengerjakan ibadah,” katanya ketika ditemui pada program ziarah Tabung Haji (TH) di rumahnya di Kampung Tengah, Gedangsa, di sini, semalam.
Hadir sama, Ahli Lembaga TH Datuk Rosni Sohar dan Pengarah TH Selangor Mohd Syawal Abong.
Misiah berkata, suaminya koma selepas menjalani pembedahan di kepala di HKF sehingga akhir hayatnya.
“Saya bagaimanapun terpaksa pulang ke Malaysia pada 23 September lalu kerana menaiki penerbangan lain dan terkejut menerima berita pemergian suami dua hari kemudian.
“Kami sekeluarga reda dengan ketentuan Allah dan tetap bersyukur kerana impian arwah untuk dikebumikan di Tanah Suci tercapai,” katanya.
Sementara itu, Rosni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Bernam berkata, TH akan melaksanakan badal haji untuk arwah Anuar pada tahun depan kerana tidak sempat menyempurnakan ibadah itu, tahun ini.