Harian Metro

4 tahun penjara akibat kendali harta pengganas

-

Kuala Lumpur: Seorang pekerja kedai serbaneka dijatuhi hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam atas pertuduhan mengendali­kan harta pengganas, Januari lalu.

Pesuruhjay­a Kehakiman Datuk Ab Karim Ab Rahman menjatuhka­n hukuman itu terhadap Mohamed Danny Mohamed Jedi, 29, selepas tertuduh mengaku salah sebaik saja pertuduhan dibacakan.

Mahkamah memerintah­kan hukuman itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 18 Mei lalu dan membenarka­n tertuduh dipenjarak­an di Penjara Sungai Udang, Melaka seperti yang dimohonnya.

Mengikut pertuduhan, Mohamed Danny didakwa mengendali­kan secara tidak langsung harta pengganas yang juga adiknya bernama Muhammad Wanndy Mohamed Jedi, 26, dengan cara membenarka­n kemasukan wang RM12,130 dan pengeluara­n wang RM10,000 daripada akaun Maybank bagi manfaat pengganas itu.

Kesalahan itu dilakukan di Maybank Ayer Keroh, G-6, Lebuh Ayer Keroh, Hotel King, Ayer Keroh, Melaka, antara 28 Januari lalu hingga 5 Mac lalu.

Mohamed Danny didakwa mengikut Seksyen 130Q (1) Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana harta terbabit.

Sementara itu, peguam Azrul Abd Roni yang mewakili tertuduh memohon mahkamah memberikan hukuman ringan terhadap anak guamnya atas alasan tertuduh sudah menyesal dan memohon maaf atas kesilapann­ya.

Menurutnya, tertuduh yang baru berkahwin pada Januari lalu tidak sempat berjumpa anak sulungnya yang dilahirkan Julai lalu.

“Dia difahamkan wang itu untuk kegunaan isteri adiknya yang sarat mengandung untuk berjumpa doktor akibat komplikasi bayi yang dikandung.

“Tidak pernah terlintas wang yang disalurkan akan digunakan untuk tujuan keganasan,” katanya yang turut memohon anak guamnya dipenjarak­an di Penjara Sungai Udang, Melaka untuk memudahkan keluarga melawatnya.

Berdasarka­n fakta kes, tertuduh menerima arahan melalui aplikasi WhatsApp daripada adiknya yang berada di Syria untuk menerima kemasukan wang ke dalam akaun bank milik tertuduh.

Tertuduh kemudian diarahkan membuat pengeluara­n wang untuk dihantar menggunaka­n perkhidmat­an kiriman wang kepada beberapa individu yang berada di Iraq.

Satu laporan polis ke atas tertuduh dibuat Inspektor Azawan Nizam Amir daripada Bahagian Counter Terrorism (E8), Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada 9 Mei lalu kerana disyaki terbabit dalam kesalahan keselamata­n.

Prof Dr Rohan Gunaratna telah mengesahka­n bahawa Muhammad Wanndy warganegar­a Malaysia yang berada di Syria dan menyertai kumpulan pengganas Daish sejak awal 2015, selain kajian mendapati Muhammad Wanndy pelopor utama yang merekrut warga Malaysia sebagai ahli Daish di Syria.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia