Perkembangan positif LA21
Projek dilaksana 300 rakan kongsi sumbang kepada rakyat, pembangunan negara
Pembabitan hampir 300 rakan kongsi dalam tempoh 10 tahun pelaksanaan Local Agenda 21 (LA21) di ibu kota mencerminkan usaha gigih syarikat swasta, komuniti dan agensi kerajaan dalam berpadu tenaga dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menyumbang kepada rakyat serta pembangunan negara.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abdul Aziz berkata, beliau yakin setiap rakan kongsi LA21 pernah berdepan rintangan dan cabaran sepanjang mengurus- kan projek masing-masing.
“Kita bangga apabila projek dilaksanakan banyak memberi kesan positif serta menguntungkan rakan kongsi melalui pelbagai aspek.
“Malah, ada projek LA21 kini berjaya mengukir kejayaan besar menerusi beberapa anugerah seperti Projek Taman Herba di PPR Raya Permai,” katanya dalam ucapan Pelancaran Sambutan 10 Tahun LA21 Kuala Lumpur 2016 di sini, semalam.
Teks ucapan beliau bagaimanapun dibacakan Pengarah Eksekutif (Perancangan) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Mohd Najib Mohd.
Mengimbas perjalanan LA21 sepanjang tempoh sedekad lalu, Mhd Amin berkata, banyak perkembangan positif boleh dilihat te- rutama dalam penyertaan dan pembabitan komuniti berbanding sebelumnya.
“Pelbagai aspek diberi penekanan termasuk dari sudut penilaian dan pemantauan untuk mengukur keberkesanan setiap program berdasarkan indikator yang dikenal pasti.
“Begitupun, penetapan tema yang dibuat menerusi LA21 banyak memudahkan DBKL dalam mengurus dan menyelesaikan isu semasa secara fokus serta terancang,” katanya.
Jelas beliau, sehingga kini, hampir 300 rakan kongsi sudah mengikat memorandum persefahaman (MoU) dalam melaksanakan 12 projek utama LA21.
“Pertambahan bilangan rakan kongsi dari tahun ke tahun memberi keyakinan kepada DBKL bahawa LA21 adalah satu mekanisme baik dalam pengurusan perbandaran yang semakin mencabar.
“Dalam masa sama, LA21 juga menjadikan proses interaksi dengan warga kota, pelanggan dan pihak berkepentingan lebih berkesan, sekali gus membolehkan DBKL memenuhi kehendak mereka dengan tepat,” katanya.