Letupan dekat balai polis Langgar kepercayaan
Rumah Putih semalam menuduh Israel melanggar kepercayaan susulan perancangan membina ratusan rumah di penempatan baru dalam penjajahannya di Tebing Barat.
Hanya beberapa hari selepas Presiden Barack Obama meluluskan pakej bantuan ketenteraan berjumlah AS$38 bilion (RM158 bilion) kepada Israel dan menghadiri upacara pengebumian bekas presiden, Shimon Peres di Baitulmaqdis, Rumah Putih mengecam pembinaan 300 unit perumahan di kawasan ‘lebih hampir dengan Jordan berbanding Israel.’
Sambil memberi amaran keputusan itu akan semakin menyukarkan proses keamanan di Asia Barat, selain mampu mengancam keselamatan Israel, setiausaha akhbarnya Josh Earnest berkata, ia turut memberi kesan terhadap sejauh mana Perdana Menteri Benjamin Netanyahu boleh dipercayai.
“Kerajaan Israel membuat janji kepada kami yang jelas bercanggah dengan pengumuman (pembinaan kediaman) itu,” katanya.
Teguran seumpama itu jarang sekali dikeluarkan Rumah Putih dan dilihat kemungkinan usaha mencetuskan semula proses damai sebelum Obama tamat perkhidmatannya pada Januari depan.
Walaupun perbincangan secara serius tidak mungkin berjaya dilaksanakan, Amerika Syarikat mengharapkan sekurang-kurangnya garis panduan asas dirangka untuk membolehkan rundingan damai dimulakan secara rasmi selepas usaha damai terakhir terlerai pada April 2014.
Teguran terbaru Washington dianggap menjadi peringatan kepada Israel bahawa tindakannya mampu memberi kesan terhadap hubungan pada masa akan datang selain pada masa sama memberi lebih kredibiliti untuk Washington dengan orang Palestin dan sekutu Arabnya.
Selain itu, Jabatan Negara berkata perancangan membina lebih banyak kediaman dilihat sebagai langkah memperluaskan jajahan.
Jurucakapnya Mark Toner berkata: “Perancangan itu bukan saja menggugat harapan mencapai keamanan dengan orang Palestin, malah bertentangan dengan masa depan Israel sebagai negara Yahudi yang demokratik.”
Washington sudah lama membantah polisi penjajahan Israel di Tebing Barat yang sepatutnya dituntut orang Palestin jika rundingan untuk penyelesaian dua negara berjaya diteruskan.
Rumah Putih tegur penjajahan terbaru Israel