MALU TAPI MAHU
Kelihatan naif, kurang bercakap dan mudah gugup apabila bertemu dengan orang tidak dikenali terutama wanita.
Tiga perwatakan itu sinonim dengan lelaki pemalu yang jarang ditemui, tetapi wujud di dalam masyarakat kita.
Kebanyakan lelaki pemalu juga mempunyai masalah komunikasi dan paling ketara enggan bertentang mata ketika bertutur kerana kurangnya keyakinan diri.
Di sebalik kekurangan itu, mereka sebenarnya unik, istimewa dan mempunyai tarikan tersendiri.
Malah, penulis yakin pasti ada si gadis terpikat atau mempunyai pasangan yang tergolong dalam kategori berkenaan.
Untuk itu, Gen Y ingin berkongsi lima tip untuk si gadis yang ingin mendampingi lelaki pemalu :
1. MULAKAN PERKENALAN
Memandangkan lelaki pemalu kurang bercakap, tidak salah rasanya jika si gadis yang memulakan perbualan.
Beranikan diri untuk meluahkan daripada membiarkan si jejaka tidak tahu anda menyukainya.
Mencuba lebih baik daripada membiarkan si dia terlepas menjadi milik orang lain.
Selalunya, lelaki pemalu akan memberi respons walaupun ia mungkin mengambil masa yang lama.
2. Gunakan cara ‘non-verbal’
Jika tidak berani meluahkan perasaan dengan berdepan, cuba suarakannya melalui kiriman pesanan di WhatsApp atau aplikasi laman sosial lain.
Dengan cara itu, perasaan anda tidak akan terpendam begitu saja. Malah, lelaki pemalu juga akan kagum dengan keberanian si gadis dan yakin anda benar-benar menyukainya.
3. BORAK TOPIK UMUM
Cari keserasian dengan mengajak lelaki pemalu ini berbicara mengenai topik umum.
Topik umum biasanya adalah berkenaan hobi satu sama lain, lagu mahupun filem terkini atau yang berkait rapat dengan isu semasa.
Apabila si dia sudah galak bercerita, barulah anda boleh masuk ke topik seterusnya yang lebih serius.
4. BERBUAL DENGAN SANTAI
Ajak si lelaki pemalu berbual dengan cara santai seperti anda bercerita dengan rakan yang lain.
Jangan cuba kuasai perbualan dengan memandang terus matanya kerana ia akan menyebabkan lelaki pemalu berasa tidak selesa.
Nada suara dan jarak diri anda dengan diri si lelaki ketika berbual juga perlu diambil kira bagi mewujudkan keserasian antara kalian berdua.
5. JANGAN CEPAT PUTUS ASA
Lelaki pemalu biasanya berkelakuan begitu pada saat permulaan perkenalan saja.
Apabila si lelaki sudah mula selesa berbual dengan wanita itu, rasa malu pastinya akan berkurangan.
Malah, jangan terkejut jika lelaki pemalu ini boleh bertukar menjadi kawan, bahkan teman rapat anda. Dari sinilah bermulanya cinta seorang teman jadi banyakkan bersabar dan jangan mudah berputus asa.