Buka mata dunia
Penahanan kapal bawa misi WBG dijangka dapat perhatian aktivis global untuk desak Israel bebas Palestin
Biarpun kapal Zaytouna-Olive ditahan tentera laut Israel malam kelmarin, misi Women’s Boat to Gaza (WBG) diterajui 13 wanita berjiwa besar itu dianggap berjaya membuka mata dunia terhadap kezaliman rejim Zionis yang menghalang misi solidariti itu tanpa sebarang asas.
Zaytouna-Olive bersama 13 kru dan anak kapal termasuk wakil tunggal Malaysia, Dr Fauziah Mohd Hasan dipintas Israel ketika berada pada kedudukan 42 batu nautika menghampiri pantai Gaza, Palestin pada jam 3.58 petang kelmarin waktu tempatan (jam 9.58 malam, Malaysia).
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor berkata, misi WBG anjuran Freedom Flotilla Coalition (FFC) mendapat perhatian dan kesannya memberikan tekanan ke atas Israel kerana usaha berkenaan tidak terhenti sebaliknya terus dipertingkatkan untuk membebaskan Palestin.
“Maklumat terakhir kami terima mereka selamat dan disoal siasat Israel manakala kapal ditunda ke Ashdod. Kami akan pastikan semua maklumat diperoleh Pusat Krisis MyCARE dari semasa ke semasa disahkan terlebih dulu oleh FFC.
“Saya tegaskan misi ini berjaya walau apapun kesudahannya kerana isu ini membuka mata masyarakat antarabangsa dan ia sebenarnya adalah kejayaan besar jika mereka benar-benar sampai ke daratan untuk berkongsi penderitaan penduduk Palestin yang menunggu di Gaza.
“Secara peribadinya saya melihat sendiri keikhlasan, kejujuran dan kesungguhan ahli misi walaupun sebahagian mereka bukan beragama Islam, tetapi mempunyai sikap prihatin sangat kuat untuk melihat Gaza dibebaskan daripada kepungan Israel,” katanya, di sini, semalam.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE Kamarul Zaman Shaharul Anwar, ahli misi WBG serta ahli keluarga Dr Fauziah termasuk suaminya, Prof Dr Mohd Alauddin Mohd Ali.
Menurutnya, MyCARE bersama FFC melalui rangkaian antarabangsa tidak berdiam diri dan terus memberi tekanan bagi mendesak Israel membebaskan segera ahli misi seterusnya membuka kepungan ke atas Gaza.
“Perjuangan pembebasan Palestin tidak menjadi perjuangan eksklusif milik umat Islam saja, tetapi ia membabitkan masyarakat antarabangsa tanpa mengira bangsa dan agama dalam usaha memecahkan tembok kepungan Gaza.
“Kami mendapatkan jaminan khidmat guaman secara profesional dan percuma di peringkat antarabangsa yang handal mengendalikan kes berprofil tinggi untuk membela ahli misi yang berada dalam tahanan Israel, selain meraih sokongan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Majlis Keselamatan PBB (UNSC) dan Kesatuan Eropah (EU).
“Usaha mendesak Israel dilakukan bagi membenarkan Dr Fauziah dan semua delegasi WBG menemui rakyat Palestin. Ini bermakna, Israel bukan saja perlu melepaskan WBG, mereka juga perlu menghentikan sekatan Gaza segera tanpa bertangguh,” katanya.