4 tahun penjara akibat kendali harta pengganas
Kuala Lumpur: Seorang pekerja kedai serbaneka dijatuhi hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam atas pertuduhan mengendalikan harta pengganas, Januari lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ab Karim Ab Rahman menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamed Danny Mohamed Jedi, 29, selepas tertuduh mengaku salah sebaik saja pertuduhan dibacakan.
Mahkamah memerintahkan hukuman itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 18 Mei lalu dan membenarkan tertuduh dipenjarakan di Penjara Sungai Udang, Melaka seperti yang dimohonnya.
Mengikut pertuduhan, Mohamed Danny didakwa mengendalikan secara tidak langsung harta pengganas yang juga adiknya bernama Muhammad Wanndy Mohamed Jedi, 26, dengan cara membenarkan kemasukan wang RM12,130 dan pengeluaran wang RM10,000 daripada akaun Maybank bagi manfaat pengganas itu.
Kesalahan itu dilakukan di Maybank Ayer Keroh, G-6, Lebuh Ayer Keroh, Hotel King, Ayer Keroh, Melaka, antara 28 Januari lalu hingga 5 Mac lalu.
Mohamed Danny didakwa mengikut Seksyen 130Q (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana harta terbabit.
Sementara itu, peguam Azrul Abd Roni yang mewakili tertuduh memohon mahkamah memberikan hukuman ringan terhadap anak guamnya atas alasan tertuduh sudah menyesal dan memohon maaf atas kesilapannya.
Menurutnya, tertuduh yang baru berkahwin pada Januari lalu tidak sempat berjumpa anak sulungnya yang dilahirkan Julai lalu.
“Dia difahamkan wang itu untuk kegunaan isteri adiknya yang sarat mengandung untuk berjumpa doktor akibat komplikasi bayi yang dikandung.
“Tidak pernah terlintas wang yang disalurkan akan digunakan untuk tujuan keganasan,” katanya yang turut memohon anak guamnya dipenjarakan di Penjara Sungai Udang, Melaka untuk memudahkan keluarga melawatnya.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh menerima arahan melalui aplikasi WhatsApp daripada adiknya yang berada di Syria untuk menerima kemasukan wang ke dalam akaun bank milik tertuduh.
Tertuduh kemudian diarahkan membuat pengeluaran wang untuk dihantar menggunakan perkhidmatan kiriman wang kepada beberapa individu yang berada di Iraq.
Satu laporan polis ke atas tertuduh dibuat Inspektor Azawan Nizam Amir daripada Bahagian Counter Terrorism (E8), Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada 9 Mei lalu kerana disyaki terbabit dalam kesalahan keselamatan.
Prof Dr Rohan Gunaratna telah mengesahkan bahawa Muhammad Wanndy warganegara Malaysia yang berada di Syria dan menyertai kumpulan pengganas Daish sejak awal 2015, selain kajian mendapati Muhammad Wanndy pelopor utama yang merekrut warga Malaysia sebagai ahli Daish di Syria.