Trend masa depan
MAI kembali anjur pameran kereta terbesar tahunan
Institut Automotif Malaysia (MAI) kembali menganjurkan acara pameran kereta terbesar tahunan negara iaitu Malaysia Autoshow pada 10 hingga 13 November depan dengan tarikan utama iaitu pengenalan kenderaan penumpang elektrik pertama Malaysia yang dihasilkan melalui usahasama antara Beijing Auto International Cooperation (BAIC) dan Amber Dual Sdn Bhd.
Selain itu, pengunjung juga berpeluang menyaksikan pelancaran beberapa kereta baru dan menikmati pelbagai tawaran eksklusif dan diskaun daripada kebanyakan jenama kereta terkemuka khusus individu yang berhasrat membeli kereta idaman masing-masing.
Ketua Pegawai Eksekutif MAI, Datuk Madani Sahari berkata, acara itu adalah platform terbaik bagi mereka yang ingin membeli kereta kerana tawaran diskaun daripada pengeluar sendiri dan insentif kerajaan bagi industri automotif.
“Malaysia Autoshow juga menjadi pemangkin kepada jualan kereta dan boleh menyesuaikan pembeli dengan bajet serta jenama kereta di mana pengunjung berpeluang menyaksikan 70 buah kereta yang baru dilancarkan tahun ini di bawah satu bumbung,” katanya dalam kenyataan.
Malaysia Autoshow akan berlangsung di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Mines, Seri Kembangan dengan bayaran masuk sebanyak RM10 bagi dewasa manakala pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi dengan uniform atau kad pelajar akan diberi peluang masuk secara percuma pada 10 dan 11 November.
Beliau berkata, MAI berhasrat menjadikan pameran kali ini lebih daripada acara biasa di mana ia bakal mempamerkan trend pada masa depan dalam industri automotif terutama dalam kalangan model kenderaan cekap tenaga (EEV) terbaru.
Menurutnya, lebih daripada 100 pempamer daripada jenama kenderaan terkenal, perkhidmatan selepas jualan dan produk aksesori akan mempamerkan rangkaian produk masing-masing bersempena pameran selama empat hari itu.
“Pengunjung yang melakukan tempahan kenderaan penumpang ketika penganjuran Malaysia Autoshow berpeluang untuk memenangi Kia Rio X 1.4 Sedan bernilai RM78,000 melalui peraduan Beli Kereta, Menang Rio yang ditaja oleh Naza Kia Malaysia,” katanya. TC Euro Cars Sdn Bhd (TCEC) pengedar kenderaan Renault di Malaysia melancarkan kempen jualan untuk model Captur dengan tawaran harga yang menarik sehingga 31 Oktober 2016.
Bergaya dan praktikal, Captur menawarkan rebat sebanyak RM8,000 daripada harga jualan asas RM117,200 serta penyelenggaraan percuma selama tiga tahun atau 60,000 kilometer yang mana terlebih dahulu.
Renault Captur dikuasakan dengan enjin 1.2 liter pengecaj turbo TCe 120 baharu yang menawarkan penjimatan bahan api terbaik dengan mod ECO mencapai sehingga 5.4L setiap 100km.
Syarikat dalam kenyataannya berkata, sama seperti kenderaan Renault lain, Captur disekalikan dengan jaminan pengeluar selama lima tahun dan perlindungan konsisten ke atas alat ganti.