Jual barang terpakai
Program amal CBS bertema alam sekitar dapat sambutan pengunjung
Menjual barangan kitar semula dan pada masa sama, menggalakkan orang awam melaksanakan amalan membantu mereka yang kurang berkemampuan serta memerlukan pertolongan.
Ia konsep jualan amal ‘Charity Car Boot Sales’ (CBS) anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islamic Relief Malaysia (IRM) dengan kerjasama Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA), di sini.
Pengurus Charity Shoppe IRM, Datin Norelan Ismail berkata, program yang menggunakan tema ‘Lets Go Green’ mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai termasuk masyarakat setempat dengan kehadiran lebih 100 pengunjung.
“Bersesuaian dengan tema alam sekitar, seramai 25 vendor yang menyertai jualan, di sini, perlu memastikan barangan yang dijual adalah kitar semula.
“Mereka tidak digalakkan menjual barangan baru, makanan serta minuman,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, program yang bermula seawal jam 7.30 pagi itu turut menampilkan pelbagai aktiviti lain seperti rekaan inovasi daripada barangan kitar semula serta sembang santai bersama tetamu undangan dan sudut penceramah yang memberi ruang kepada sesiapa untuk menyampaikan ucapan atau memberi pendapat.
Katanya, aktiviti itu akan terus diadakan pada masa akan datang, sekali gus memberi peluang kepada orang ramai melaksanakan kerja amal membantu mereka yang memerlukan.
Norelan berkata, selain penduduk setempat, program berkenaan turut dihadiri pensyarah dan penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam sokongan kepada aktiviti kemasyarakatan.
Selain jualan, ia turut dihadiri penyanyi nasyid, Daqmie bersama personaliti televisyen Ustaz Shahrul Faizie.