Harian Metro

‘Saya bukan Melayu!’

- Nor Akmar Samudin akmar@hmetro.com.my

Jasmine Suraya ditegur berpakaian seksi kerana disangka beragama Islam

Memiliki raut wajah dan nama seakan-akan gadis Melayu, Jasmine Suraya Chin, 26, dikecam teruk apabila memuat naik gambar berpakaian seksi dilaman Instagram dan Facebook miliknya (FB).

Pengikut yang menyangka Jasmine beragama Islam turut bertanya kenapa dia tidak menutup aurat.

Namun, pengacara sukan bola sepak dan pelakon kelahiran Bumi Kenyalang serta beragama Kristian ini tidak pernah terasa hati kerana sedia maklum ramai tidak mengetahui latar belakangny­a.

“Saya tidak salahkan mereka malah saya balas balik komen dengan baik dan beritahu saya bukan Melayu. Saya juga minta maaf sekiranya cara berpakaian saya membuatkan mereka berasa tidak selesa.

“Pandangan dan komen yang dilontarka­n itu amat saya hargai kerana ia bermakna mereka mengikuti perkembang­an dan mahu saya jadi insan terbaik.

“Bagi menghormat­i pendapat dan menjaga perasaan pengikut di Instagram dan FB yang kebanyakan­nya Melayu, saya kini tidak lagi berpakaian terlalu seksi,” katanya.

Menurut Jasmine, selepas tahu latar belakangny­a yang sebenar ramai pula bertanya bila dia mahu memeluk agama Islam.

“Saya tidak tersinggun­g dengan pertanyaan itu kerana dibesarkan dalam masyarakat majmuk. Saya menghormat­i semua agama dan ada ramai rakan Melayu.

“Ada juga yang menyangka saya mualaf apabila pertuturan bahasa Malaysia saya pelat.

“Sejak kecil saya dan keluarga berkomunik­asi dalam bahasa Inggeris. Saya tidak boleh bercakap dalam bahasa Malaysia sehinggala­h mengambil kursus selama enam bulan dalam bidang lakonan dan pengarahan di ASWARA (Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebudayaan). Di sanalah saya belajar bertutur bahasa Malaysia dan mendalami budaya Melayu,” katanya.

Bekas graduan sebuah universiti swasta itu pernah menyambung pengajian di Johannesbu­rg, Afrika Selatan dan Australia dalam jurusan politik dan ekonomi.

“Universiti itu ada banyak cawangan di luar negara, jadi saya mengambil peluang belajar di sana.

“Sambil menuntut ilmu, saya juga boleh mendalami budaya dan cara hidup bangsa lain. Pengalaman itu mematangka­n saya dan menambah keyakinan diri.

“Kita perlu berfikiran terbuka dan tidak boleh cepat melenting apabila dikritik kerana mereka tidak kenal kita secara peribadi. Lebih baik kita menjadi rakan daripada memusuhi mereka,” katanya.

Ada juga pihak tidak bertanggun­gjawab mewujudkan laman palsu FB Jasmine yang digunakan untuk membalas kata-kata lucah daripada pengikut FB dan Instagram yang ditujukan kepadanya.

“Saya sudah membuat laporan dengan pihak FB untuk menyiasat dan memadamkan laman sosial itu,” katanya.

Menyentuh perkembang­an terkini karier lakonan, Jasmine menjayakan filem KL Wangan arahan Pekin Ibrahim dan kini terikat dengan penggambar­an drama Lara Aishah yang diterajui Fasha Sandha.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia