Harian Metro

30 jam dalam tawanan

-

„ Dr Fauziah kongsi pengalaman berdepan tentera Israel ketika misi WBG

Walaupun dipenjara hampir 30 jam dan dipaksa menandatan­gani dokumen sebagai pengakuan menceroboh Israel, namun ia tidak langsung mematahkan semangat Dr Fauziah Mohd Hasan untuk kembali menyertai misi ke Gaza tahun depan.

Dr Fauziah yang juga Ahli Lembaga Pengarah MyCARE, menaiki bot bersama 12 wanita lain dari seluruh dunia untuk misi Women’s Boat to Gaza (WBG) sebelum ditawan rejim Zionis pada hari kelapan pelayaran ke Gaza, Rabu lalu.

Menurutnya, beliau mahu terus berjuang membantu rakyat Palestin di Gaza bebas daripada kepungan Israel.

“Dengan izin Allah SWT, tahun depan saya dan rakan lain akan sertai misi sama untuk memasuki Gaza,” katanya.

Beliau berkata, liputan meluas berkait isu lain seperti di Syria membuatkan kita terlupa dengan kekejaman dan kesengsara­an di Gaza.

“Oleh itu, saya terus berjuang dan memberi desakan kepada Israel untuk membebaska­n rakyat Gaza daripada kepungan mereka,” katanya.

Katanya, Mei tahun depan, ahli misi mengadakan perbincang­an di Stockholm, Sweden bagi meneruskan misi mereka.

“Sepanjang ditahan di penjara Israel selepas ditawan tentera rejim itu di perairan Gaza, saya membaca al-Quran sebagai peneman, penenang hati dan penguat semangat,” katanya.

Sebaik dibebaskan, beliau diterbangk­an terus dari Tel Aviv ke Bangkok, Thailand, sebelum tiba di tanah air, Jumaat lalu.

Menurutnya, pada malam sebelum kejadian, ahli misi WBG membuat persediaan awal kerana mengetahui risiko ditahan tentera Israel adalah tinggi.

“Kami siap sedia dengan makanan kerana memang menyangka tentera Israel menawan bot kami yang membawa ubat dan makanan bagi membantu rakyat Gaza,” katanya.

Dr Fauziah berkata, ketika ditahan, mereka berada hampir dengan Gaza.

“Kami nampak bumi Gaza yang jaraknya hanya 35 batu nautika dari bot. Berbeza pemandanga­n di Gaza yang suram manakala di Tel Aviv terang dengan cahaya lampu.

“Pada ketika itu, kami dikhabarka­n Gaza baru diserang bom, namun ia tidak mematahkan semangat kami untuk ke sana.

“Bagaimanap­un, pada jam 4 petang (waktu tempatan), tiga kapal Israel menghampir­i kami sebelum mereka (tentera Israel) memberi amaran untuk masuk ke dalam bot,” katanya.

Menurut Dr Fauziah, ahli misi yang berada di dalam bot juga membuang peralatan yang dianggap sebagai senjata ke dalam laut.

“Semua alat komunikasi di atas kapal dan barang yang tajam seperti pisau kami buang ke dalam laut kerana bimbang dituduh pengganas kerana menyimpan barang itu,” katanya.

Katanya, sebaik tentera Israel memasuki bot, mereka disiasat dan bot digeledah sebelum dibawa ke Ashdod, Israel pada jam 12 tengah malam.

“Kami terkandas di atas bot enam jam dan dikawal ketat. Mereka (tentera Israel) sentiasa mengawal pergerakan kami walaupun ketika ke tandas,” katanya.

Dr Fauziah berkata, sebelum pelayaran ke Gaza bermula, semua ahli misi diberi pendedahan mengenai cara berhadapan tentera Israel.

“Kami tidak melakukan sebarang provokasi ketika berada di bot dan hanya ketua kami saja yang berkomunik­asi dengan tentera Israel. Ia memudahkan perundinga­n dan Alhamdulil­lah kami tidak dikasari,” katanya.

Katanya, selepas dibawa ke Ashdod, mereka disiasat dan diberi tekanan untuk menandatan­gani dokumen penceroboh­an ke atas Israel.

“Kami dipaksa menandatan­gani dokumen itu. Dua daripada ahli misi iaitu wartawan dari Al Jazeera bersetuju menandatan­gani dokumen berkenaan sebelum dihantar pulang.

“Bagaimanap­un selepas berunding lebih sejam, 11 daripada kami tetap dengan pendirian tidak menandatan­gani sebarang dokumen sebelum kami dimasukkan ke dalam penjara,” katanya.

Dr Fauziah berkata, di dalam penjara, mereka hanya diberi sehelai pakaian dan turut dibenarkan membawa al-Quran.

“Hanya saya seorang dibenarkan membawa alQuran dan ia menjadi peneman saya sepanjang berada di penjara. Kami juga tidak dibenarkan membuat panggilan telefon untuk memberitah­u keluarga keadaan kami.

“Saya tidak risaukan diri saya, tetapi lebih khuatir mengenai kebimbanga­n keluarga mengenai saya,” katanya.

Menurutnya, pengalaman ditawan dan dipenjara rejim

Zionis tidak mematahkan semangatny­a terus membantu rakyat Palestin.

“Kami dibebaskan selepas menjalani pelbagai prosedur termasuk dibicaraka­n di mahkamah. Apa yang mengejutka­n ketibaan saya disambut ahli keluarga dan rakyat Malaysia ketika di Bangkok, Thailand dan di KLIA (Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur),” katanya.

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia