Harian Metro

Dua tertuduh tukar pengakuan

-

Dua lelaki yang didakwa atas sembilan pertuduhan iaitu satu memiliki bom tangan manakala lapan lagi membaling dan meletupkan bom tangan hingga menyebabka­n kecederaan terhadap lapan mangsa di pusat hiburan Movida, Puchong, Jun lalu, menukar pengakuan kepada tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Pengakuan itu dibuat kedua-dua tertuduh, Imam Wahyuddin Karjono, 21, dan Jonius Ondie@Jahali, 24, selepas pertuduhan terhadap mereka disebut semula oleh jurubahasa di hadapan Hakim Azwarnida Affandi.

Sebelum ini, kedua-dua tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu ketika pertama kali dihadapkan ke mahkamah pada 25 Julai lalu.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa memiliki, membaling dan meletupkan bom tangan menggunaka­n fius lever jenis ‘Fuze M213’ menyebabka­n kecederaan terhadap lapan mangsa di Movida Boulevard, Lot G2 & G3, Tingkat Bawah, IOI Boulevard, Jalan Kenari 5, Bandar Puchong Jaya, Puchong, jam 2 pagi, 28 Jun lalu.

Bagi pertuduhan memiliki bahan letupan, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntu­kkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebatan tidak kurang daripada enam sebatan.

Bagi lapan pertuduhan membaling dan meletupkan bom tangan, mereka didakwa bersama-sama mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara sehingga 30 tahun jika sabit kesalahan.

Mahkamah tidak membenarka­n kedua-dua tertuduh diikat jamin kerana mereka menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamata­n (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Dalam prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya,

Mohamad Mustaffa P Kunyalam memohon tarikh sebutan baharu untuk kes dipindahka­n ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Mahkamah kemudian menetapkan 14 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Peguam Fareida Mohd dan Wong Kar Fai mewakili Imam Wahyudin manakala Jonius diwakili peguam, Aaron Mark Pius.

Imam yang memakai baju-T berwarna putih dibawa ke Penjara Kajang manakala Jonius yang memakai baju-T berwarna hijau dibawa ke Penjara Sungai Buloh.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia