Harian Metro

Tak sempat pergi memancing

-

Kepala Batas: “Kami baru merancang untuk memancing di Pulau Jerejak, Ahad ini tetapi tidak sempat kerana dia pergi dulu,” kata Saiful Bahri Idris, 44, bapa saudara kepada Suhairi Abu Hassan, 33, yang maut selepas terbabit kemalangan di Kilometer 120, Lebuhraya Utara-Selatan dekat sini, semalam.

Saiful Bahri berkata, dia memang rapat dengan arwah yang dipelihara sejak kecil oleh kakaknya dan mereka sering keluar memancing bersama jika ada kelapangan.

“Kelmarin, ketika bertemu arwah, dia beriya bertanya bila hendak memancing di Lumut, Perak.

“Saya beritahu nanti dulu kerana saya merancang membawanya memancing di Pulau Jerejak, Ahad ini,” katanya ketika ditemui di Hospital Kepala Batas (HKB), semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.45 pagi itu, Suhairi yang bertugas sebagai juruteknik pendingin hawa menunggang motosikal Yamaha dalam perjalanan dari rumahnya di Bertam dekat sini, untuk ke tempat kerjanya di bahagian pulau.

Ketika tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikaln­ya lalu terbabas ke kanan jalan dan kebetulan beberapa motosikal dari arah sama gagal mengelak lalu melanggar mangsa selain sebuah lori turut nyaris menggilis mangsa, namun pemandunya sempat menekan brek.

Mangsa yang jatuh dalam keadaan tersembam maut di tempat kejadian akibat kecederaan dalaman dan dihantar ke HKB manakala beberapa penunggang lain yang cedera turut dikejarkan ke hospital sama dan Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan.

Saiful Bahri berkata, arwah sebelum ini memberitah­u baru mendapat ‘lesen’ untuk keluar memancing kerana isterinya, Shahidah Abu Bakar, 20-an, baru habis pantang kelmarin selepas melahirkan anak kedua.

“Sebelum ini, arwah begitu gembira kerana mendapat anak kedua selepas anak sulungnya berusia 10 tahun.

“Dia ditimpa malang apabila motosikaln­ya hilang ketika isterinya baru melahirkan anak kedua menyebabka­n dia membeli motosikal baru tetapi terbabit kemalangan pula hingga meragut nyawanya,” katanya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Azmi Adam mengesahka­n kejadian itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia