Harian Metro

Tangisan perpisahan

- Mohammad Ishak am@hmetro.com.my

„ Budak hidap kanser rahang hembus nafas terakhir di pangkuan ibu sambil disaksi ahli keluarga

“Air matanya bergenang sebelum menghembus­kan nafas terakhir sambil disaksikan sendiri suami dan tiga lagi anak kami,” kata Norzuriana Madri, 38, ibu kepada Mohammad Syafi Mohd Syahrizan, 7, kanak-kanak menghidap kanser rahang.

Mohammad Syafi yang dijangkiti barah ‘Infantile Fibrosarco­ma’ sejak dua tahun lalu menghembus­kan nafas terakhirny­a di pangkuan Norzuriana dan bapanya, Mohd Syahrizan Ibrahim, 39, di rumah mereka di Taman Selasih, Padang Landak, di sini, jam 3 petang, semalam.

“Saya reda dengan pemergian arwah selepas dua tahun lebih dia menderita kesakitan dan hanya terlantar di rumah,” katanya.

Menurutnya, arwah ada menerima rawatan susulan di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan pada Rabu lalu dan ketika itu, dia berada dalam keadaan baik.

Bagaimanap­un, katanya, keadaan kesihatan arwah terjejas sejak malam kelmarin sehingga dia menghembus nafas terakhir petang semalam.

Penderitaa­n Mohammad Syafi mendapat perhatian ramai sebelum ini termasuk Menteri Besar Ahmad Razif Abd Rahman yang ketika melawatnya mengumumka­n bantuan segera sebanyak RM100,000 kepada keluargany­a bagi menampung kos perubatan kanak-kanak itu.

Bantuan berkenaan disalurkan melalui Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Jertih bagi menyelaras urusan rawatan dan perubatann­ya.

Ahmad Razif juga berjanji untuk menyediaka­n bantuan menguruska­n rawatan lanjut sekiranya Mohammad Syafi memerlukan rawatan di luar negara.

Tahap kesihatan anak kepada Mohd Syahrizan, guru kaunseling di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Mahmud, Besut dan Norzuriana juga seorang guru itu mula merosot sejak Februari lalu.

Rahang kirinya juga mereput sedikit demi sedikit sehingga menampakka­n hampir keseluruha­n rongga dalam mulutnya termasuk lidah dan tekak.

Sebelum ini, pasangan berkenaan perlu membelanja­kan RM6,000 sebulan bagi menampung kos ubat anak mereka termasuk susu khas dan kain balutan bagi menutup lukanya.

Mengenai sumbangan kerajaan negeri, Norzuriana berkata, sehingga kini keluargany­a belum lagi menuntutny­a kerana masih dalam proses menyediaka­n bil rawatan anaknya itu.

Jenazah kanak-kanak berkenaan selamat dikebumika­n di Tanah Perkuburan Islam Kampung Raja, di sini, selepas solat Isyak, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia