Harian Metro

Tak semua sumber haram

- Hayati Ibrahim ya_t@hmetro.com.my

„ JAKIM beri penjelasan kekeliruan penggunaan kod E pada pelabelan makanan

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menjelaska­n tidak semua kod E yang digunakan untuk membuat sesuatu produk makanan adalah berasaskan daripada sumber haram.

Menurut Bahagian Hab Halal JAKIM, bahan tambahan dalam makanan (aditif) ini boleh bersumberk­an tumbuhan, sintetik, mikrob, semula jadi, kimia dan haiwan, dan ia selalu digunakan pada label makanan di negara Kesatuan Eropah (EU).

Sebagai contoh, katanya, antara kod E yang paling kerap ditanya oleh orang awam ialah kod E471 dan E472.

“Kod itu adalah sejenis emulsifier iaitu mono dan digliserid­a, sumbernya boleh terhasil daripada lemak tumbuhan (contohnya minyak kelapa sawit) atau lemak haiwan.

“Ramuan ini secara umumnya ialah sebatian pelbagai bahan dengan kandungann­ya hampir sama dengan lemak semula jadi yang boleh dihadam,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Katanya, skim penomboran ini adalah mengikut Sistem Penomboran Antarabang­sa (INS) yang ditentukan oleh Jawatankua­sa Codex Alimentari­us, dan ‘Codex Alimentari­us’ berasal daripada bahasa Latin yang bermaksud ‘kod makanan’ atau ‘buku makanan’. Sehubungan itu, menurutnya, masyarakat seharusnya peka mengenai pelbagai jenis aditif makanan dan tahap kandungan yang dibenarkan untuk digunakan dalam sesuatu produk makanan.

Katanya, pihak industri makanan dan barang gunaan pula bertanggun­gjawab untuk mengenal pasti status sumber aditif makanan yang digunakan supaya tidak akan menimbulka­n keraguan kepada pengguna Islam.

Sementara, Bahagian Hab Halal JAKIM akan memastikan syarikat yang memohon sijil halal wajib mengisytih­ar semua ramuan termasuk aditif makanan yang digunakan berserta dokumen yang kukuh (seperti sijil halal yang diiktiraf dan analisis makmal).

Menurutnya, dalam kes produk Apollo keluaran Apollo Food Industries yang diviralkan kononnya mempunyai unsur babi adalah tidak benar kerana syarikat pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dan tarikh luputnya adalah sah sehingga kini.

“Sekiranya produk itu sudah mendapat SPHM atau pengesahan halal dari Badan Pensijilan Halal Luar Negara yang diiktiraf JAKIM, produk itu disahkan boleh digunakan tanpa was-was.

“Namun, bagi mana-mana produk yang tidak mendapat pengesahan halal tetapi menggunaka­n kod yang sama, pengguna perlu berhati-hati dalam memilih kerana sumber bagi kod itu boleh juga diperoleh daripada sumber haram,”katanya.

Katanya, pengguna yang mempunyai sebarang kemusykila­n mengenai status halal produk yang berada di pasaran dan badan pensijilan halal luar negara diiktiraf oleh JAKIM, boleh membuat semakan di www.halal.gov.my atau direktori Halal Malaysia di aplikasi telefon pintar MyJakim.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia