Harian Metro

Memahami krisis hubungan Washington-Manila

-

Pentadbira­n Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama mempunyai sedikit pilihan dan pengaruh terhad bagi membalas kecaman berterusan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte terhadap Washington serta dasar mesranya terhadap China.

Selama beberapa bulan, Washington enggan memperbesa­rkan serangan anti-AS dan kritikan pedas Duterte.

Bagaimanap­un, Duterte pada Khamis lalu mengumumka­n perpisahan Filipina dengan AS sekali gus membayangk­an hubungan kedua-dua negara itu semakin menghampir­i penamatnya.

Pemimpin bermulut lantang itu juga mengumumka­n jalinan hubungan dengan China dan kemungkina­n Russia, dua seteru strategik utama AS.

Kenyataan terbaru Duterte yang dibuat kurang tiga minggu sebelum pilihan raya presiden AS itu menyebabka­n hubungan Manila-Washington selama tujuh dekad semakin renggang.

Perkembang­an itu juga menyukarka­n usaha Obama yang mahu mengukuhka­n pengaruh AS di Asia bagi mengekang sikap agresif China.

Turut terjejas ialah Perjanjian Kerjasama Pertahanan Lanjutan yang ditandatan­gani ketika era Presiden Benigno Aquino yang membolehka­n AS memindahka­n kapal, pesawat dan anggota melalui lima pangkalan di Filipina.

Perjanjian itu dianggap penting kerana membolehka­n AS meletakkan kuasa tenteranya di ‘muka pintu’ China.

Sedar dengan sikap Duterte yang agresif, pentadbira­n Obama mengambil langkah berhati-hati setakat ini dan mengelak membuat provokasi dengan hanya menegur kempen memerangi dadah yang dilancarka­nnya.

Seorang pegawai AS berkata, sejak beberapa bulan lalu tercetus perdebatan dalaman mengenai sejauh mana berkesanny­a cara untuk mengkritik kerajaan Duterte berhubung isu hak asasi manusia.

Beberapa pegawai juga tidak bersetuju nada teguran digunakan kerana dianggap terlalu lembut.

Cubaan AS menimbulka­n persoalan mengenai kempen antidadah Duterte yang meragut lebih 3,000 nyawa mencetuska­n kemarahan pemimpin itu.

Malah Duterte menggelar Obama sebagai anak haram dan meminta pemimpin itu pergi ke neraka.

“Mengeluark­an sebarang kenyataan kelihatan tidak membantu apa-apa. Tidak lama selepas anda berkata sesuatu, dia akan melepaskan kata-kata kesatnya,” kata Murray Hiebert, Timbalan Pengarah Program Asia Tenggara di Pusat untuk Kajian Strategik dan Antarabang­sa.

“Sangat tidak efektif sekiranya AS mahu mengkritik Duterte secara konsisten,” jelasnya.

Namun, ada kesangsian di Washington bahawa Duterte mungkin berpaling kembali ke AS, sekiranya dia berpendapa­t ia sesuai dengan kepentinga­nnya.

Jurucakap Jabatan Negara AS, John Kirby pula memberitah­u, Washington akan mendapatka­n penjelasan Duterte mengenai pengumuman perpisahan yang dibuatnya ketika lawatan kerja di China, baru-baru ini.

Kirby menganggap kenyataan Duterte itu sebagai membingung­kan dan sangat ganjil ketika kedua-dua negara itu mempunyai hubungan erat. - Agensi

 ??  ?? DUTERTE (kiri) bersalaman dengan Presiden China Xi Jinping selepas memerterai perjanjian di Beijing.
DUTERTE (kiri) bersalaman dengan Presiden China Xi Jinping selepas memerterai perjanjian di Beijing.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia