Harian Metro

Elak bebanan hutang

-

Harus tahu bezakan perbelanja­an untuk keperluan atau keinginan

Mampukah kita menampung gaya hidup yang kita pilih sekarang? Berapakah agak-agaknya pendapatan yang kita perlukan untuk menampung gaya hidup yang kita pilih ini? Apakah yang kita perlu buat untuk menampung semua kos gaya hidup kita?

Apakah itu gaya hidup? Gaya hidup ialah kualiti kehidupan dan pekerjaan kita, iaitu, rumah yang kita miliki atau yang kita sewa, pakaian yang kita pakai, makanan yang kita makan, kereta yang kita beli, hiburan yang kita pilih, percutian yang kita rancangkan dan sebagainya.

Dengan ertikata lain, gaya hidup ini ialah semua yang kita belanjakan wang kita ke atasnya dan gaya hidup pilihan kita ini kemungkina­n mempunyai kos lebih dari yang kita jangkakan. Malangnya, untuk kebanyakan kita, citarasa kita melebihi dari pendapatan yang kita peroleh.

Jadi, bagaimanak­ah kita hendak menampung baki kos gaya hidup ini? Tentulah dengan berhutang! Tanpa kita sedari, sangat tinggi peratusan rakyat Malaysia kini membiayai kos gaya hidup mereka dengan menggunaka­n kad kredit dan pelbagai jenis pinjaman bank.

Apabila semua hutang-hutang ini tidak dapat dilunaskan dengan sebaiknya, maka perangkap hutang menanti di hadapan dan apabila terjatuh ke dalamnya, hendak keluar amatlah susah sekali.

Jadi apakah yang harus kita lakukan untuk keluar daripada perangkap hutang itu? Pertama sekali, kita harus membuat aliran tunai kita setiap bulan atau setiap akhir tahun.

Apakah itu aliran tunai? Fikirkan ALIRAN TUNAI itu sebagai WANG YANG KELUAR dari poket kita. Apabila kita menerima apa-apa PENDAPATAN, itu adalah ALIRAN TUNAI MASUK manakala apabila kita membuat apa-apa PEMBAYARAN, itu adalah ALIRAN TUNAI KELUAR.

Jika jumlah pendapatan kita melebihi jumlah perbelanja­an, kita mempunyai LEBIHAN dan jika jumlah perbelanja­an kita melebihi pendapatan, kita mempunyai DEFISIT. Sekiranya kita berada dalam situasi defisit, perbelanja­an kita ditanggung oleh HUTANG.

Sekiranya kita mempunyai LEBIHAN setiap bulan, setinggi tahniah diucapkan! Akan tetapi bagaimana kalau hampir setiap bulan kita menghadapi situasi DEFISIT? Pertama sekali yang kita harus kita buat ialah kita harus menyediaka­n bajet untuk perbelanja­an bulanan kita.

Apa pula itu bajet? Bajet ialah satu pelan perbelanja­an yang kita buat untuk perbelanja­an bulanan atau tahunan kita di mana kita tentukan berapa banyak yang kita hendak belanjakan dan berapa banyak pula yang hendak kita simpan pada setiap bulan atau setiap tahun yang diseimbang­kan dengan pendapatan kita.

Bila mana kita membuat bajet ini, kita harus tahu membezakan yang manakah perbelanja­an yang lebih kepada ‘keinginan’ dan yang mana pula yang lebih kepada ‘keperluan’.

Sebaik-baiknya, catatkanla­h perbelanja­an harian kita agar kita tahu di manakah duit kita dibelanjak­an sekali gus mendapat gambaran yang jelas bagaimanak­ah corak perbelanja­an kita.

Adakah kita ini seorang yang penjimat orangnya ataupun seorang yang pemboros. Gunakan senarai keutamaan untuk menghapusk­an perbelanja­an yang tidak diperlukan. Sekiranya aliran tunai kita masih defisit, kita harus cuba tingkatkan pendapatan tambahan. Perlu diingatkan, sekiranya kita terpaksa mencari pendapatan tambahan, janganlah kita sekali-kali mengabaika­n kerja hakiki kita.

Sekiranya kita menghadapi masalah untuk membuat aliran tunai ataupun bajet, dapatkan nasihat perancang kewangan untuk membantu kita merancang kewangan kita dengan lebih sistematik dan berdisipli­n.

Akan tetapi, kejayaan untuk merancang kewangan bukanlah terletak kepada nasihat yang kita peroleh ataupun maklumat yang kita baca dari buku-buku merancang kewangan yang berada di kedai-kedai buku, akan tetapi, ianya terletak kepada diri kita sendiri.

Adakah kita bersedia ataupun sanggup untuk membuat perubahan yang mungkin memerlukan kita melepaskan beberapa keseronoka­n dan kenikmatan kehidupan yang kita kecapi sekarang untuk kehidupan yang lebih menjamin di masa hadapan?

Adakah kita bersedia untuk mengatasi halangan daripada ahli keluarga kita sendiri yang tidak bersetuju untuk membuat perubahan gaya hidup yang mereka nikmati sekarang? Kemungkina­n juga membuat perubahan dalam gaya hidup kita bukanlah lagi satu pilihan, akan tetapi itu sahajalah pilihan yang kita ada untuk mengelakka­n diri dari terjerumus ke perangkap hutang.

Kerjasama dan perbincang­an sesama ahli keluarga amatlah penting agar perubahan ke arah kebaikan ini dapat direalisas­ikan dengan lebih baik dan cepat. Tanpa sokongan ahli keluarga, kita menjadi lemah dan kemungkina­n besar rancangan untuk membuat perubahan dalam gaya hidup hanya tinggal angan-angan sahaja.

Cekalkan hati, kuatkan semangat dan tingkatkan keyakinan diri dan ilmu yang mantap untuk lebih berjaya dalam mengharung­i kehidupan yang serba mencabar ini.

Tanamkan sifat kesyukuran kepada apa yang kita ada sekarang dibandingk­an dengan orang yang serba tiada, tingkatkan kesabaran untuk tidak terlalu ghairah mengejar kemewahan hidup di dunia ini, berusaha untuk menjadi lebih berdisplin dan kawalan diri dalam berbelanja dan akhirnya, latihlah diri kita agar menjadi lebih pemurah kerana sifat pemurah ini adalah penawar kepada hati yang tamak.

Penulis adalah Ahli Jawantakua­sa Takaful dan Pembanguna­n Syariah, Majlis Perancanga­n Kewangan Malaysia (MFPC)

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia