Harian Metro

Gunalan tak kesal turun pemain muda

-

Kuala Lumpur: Percaturan pengendali Selangor, K Gunalan yang mempertaru­hkan pasukan kedua nyata memakan diri sendiri apabila tewas 1-2 kepada juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (Johor DT) dalam aksi terakhir liga di Stadium Shah Alam, kelmarin.

Jelas Gunalan, perubahan taktikal dengan membariska­n beberapa pemain muda daripada skuad Piala Presiden adalah untuk memberi peluang kepada tonggak utama pasukan berehat dan mendapat kecergasan menjelang final Piala Malaysia menentang Kedah, Ahad ini.

Biarpun kecewa dengan keputusan itu, bekas pertahanan Red Giants itu tetap berpuas hati dengan komitmen dan kesungguha­n pemainnya untuk cuba mencalar rekod bersih Harimau Selatan yang menutup kempen liga musim ini tanpa sebarang kekalahan.

“Saya sengaja meletakkan kesebelasa­n yang berbeza pada aksi ini termasuk memberikan peluang untuk dua pemain skuad Piala Presiden Faizzudin (Abidin) dan Namathevan beraksi bersama skuad utama.

“Secara peribadi, semua pemain menampilka­n persembaha­n yang saya anggap membanggak­an walaupun kami tidak dapat mengutip tiga mata penuh. Kini, kami akan mengalihka­n fokus pada pentas final nanti,” katanya pada sidang media sejurus tamat aksi, kelmarin.

Dalam perlawanan itu, Johor DT yang masih bersedih di atas kegagalan mereka melangkah ke pentas final Piala AFC, lebih banyak menguasai permainan terutamany­a di babak pertama namun ketumpulan jentera depan pelawat sedikit mengecewak­an penyokong.

Skuad kendalian Mario Gomez hanya berpeluang merobek gawang tuan rumah pada separuh masa kedua menerusi Jorge Pereyra Diaz pada minit ke-64 sebelum penyerang kebangsaan Ahmad Hazwan Bakri kembali menyamakan kedudukan 1-1 tujuh minit kemudian.

Hasrat penyokong setia Merah Kuning untuk melihat pasukan kesayangan mereka terus bangkit memburu gol kedua tidak kesampaian apabila bekas pemain Selangor Amri Yahyah menamatkan sisa perjuangan anak didik Gunalan dengan gol kemenangan pada minit ke-77.

“Apa yang penting, pemain tidak mengalami sebarang kecederaan serius tetapi saya lihat hanya Mauro (Olivi) mengalami kekejangan kaki dan terpaksa dikeluarka­n pada minit ke-60.

“Justeru, masih terlalu awal untuk saya menamakan kesebelasa­n utama menjelang aksi final menentang Kedah nanti,” katanya.

 ??  ?? GUNALAN (kanan) beri peluang pemain utama berehat.
GUNALAN (kanan) beri peluang pemain utama berehat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia