Harian Metro

Trauma lepas kemalangan

-

Walaupun sudah setahun berlalu, saya masih tidak dapat melupakan tragedi menimpa saya dan arwah kakak sekeluarga. Kejadian berlaku ketika saya menumpang kereta kakak untuk pulang ke kampung di Kelantan pada cuti semester.

Malangnya, kereta itu terbabit kemalangan menyebabka­n kakak dan abang ipar terkorban. Saya pula terlantar di hospital hampir dua bulan kerana kecederaan teruk pada kaki dan tangan. Sehingga kini saya masih terkesan dengan peristiwa itu dan mengalami kecacatan fizikal.

Meskipun sedikit cacat, saya masih boleh melakukan urusan penting namun agak terbatas berbanding sebelum ini. Saya tidak dapat melupakann­ya dan masih takut menaiki kereta untuk perjalanan jauh.

Ini kerana sering terbayang tragedi yang menimpa saya dan arwah kakak. Saya sedih dengan pemergian mereka. Hanya Allah yang mengetahui betapa rindunya saya pada arwah kakak yang selama ini banyak membantu sepanjang saya belajar di universiti.

Saya perlukan bimbingan puan untuk mengurangk­an trauma ini.

MASIH TRAUMA

Selangor

Saya ucapkan salam takziah kepada anda di atas pemergian insan tersayang. Ia peristiwa menyayat hati serta mengganggu emosi. Seberat mana sekalipun bebanan emosi yang terpaksa ditanggung, sebagai manusia kita perlu percaya kepada ketentuan Allah.

Saya terpanggil untuk membincang­kan beberapa hal yang boleh dilakukan agar emosi anda lebih stabil dan trauma itu mampu dihadapi sebaik mungkin. Saya akui bukan mudah orang yang mengalami peristiwa sebegini menguruska­n emosi dalam masa pendek.

Hakikatnya kemampuan seseorang menghadapi tekanan atau gangguan emosi berbeza. Berikan masa sesuai untuk anda sendiri pulih dari segi emosi dan spiritual. Begitupun, usaha perlu dilakukan bagi mengatasin­ya supaya tidak terus menjadi halangan kepada anda menjalani kehidupan.

Saya juga ingin berkongsi makna trauma itu sendiri. Ia bertujuan membolehka­n anda memahami kesukaran emosi yang dihadapi, seterusnya memulihkan semangat dalaman.

Peristiwa atau pengalaman trauma perkara yang berlaku tanpa diundang atau dijangka. Kebanyakan individu tidak sanggup berdepan pengalaman traumatik yang menakutkan, mengejutka­n dan mengerikan. Ia akan mendatangk­an kesan mendalam terhadap kestabilan mental dan emosi.

Trauma terbahagi kepada fizikal dan psikologik­al. Trauma fizikal ialah peristiwa yang mendatangk­an kecederaan atau kecacatan secara lahir seperti kemalangan atau kebakaran. Trauma psikologik­al pula kejutan mental dan emosi mendalam yang berlaku akibat peristiwa mencemaska­n dan menakutkan seperti kemalangan, kematian atau kecurian.

Dalam situasi anda, saya melihat trauma ini hadir dalam kedua-dua bentuk. Akibat trauma, individu itu akan mengalami konflik dalaman disebabkan trauma fizikal. Berdasarka­n kenyataan anda, saya percaya anda hebat kerana mampu mengawal diri ketika berhadapan suasana traumatik sama ada berbentuk fizikal, lebih-lebih lagi psikologik­al.

Anda tergambar positif kerana masih mampu uruskan hal penting meskipun mengalami kecacatan fizikal. Anda reda dengan takdir. Semua ini petanda anda ada kekuatan mental dan cara fikir yang terarah. Cuma sesekali ia membuatkan anda terganggu dan dibayangi peristiwa lalu.

Kesan yang lebih kuat dalam diri anda lebih bersifat trauma psikologik­al. Memahaminy­a akan mendatangk­an kebaikan dari segi penyembuha­n dan pencegahan terhadap gangguan jiwa sebelum terlambat dan menjadi lebih parah. Diharapkan langkah yang akan dijelaskan nanti akan memberi nafas baru kepada kehidupan anda agar mampu mengawal emosi apabila terganggu dengan suasana traumatik.

Berdoa benteng pertahanan diri paling mujarab dalam setiap isu yang dihadapi. Berdoa memberikan kesan sangat baik bagi kesihatan jiwa. Dengan berdoa kita akan tenang dan percaya dengan apa yang kita lakukan.

Peristiwa traumatik cenderung membawa anda ke masa lalu apabila anda terasa seolah-olah baru mengalami kejadian itu.

Ini menyebabka­n anda terbayang-bayang, sedih, gementar, terganggu dan pelbagai lagi perasaan. Cara mengatasi trauma seperti ini ialah dengan melihat diri sekarang, di mana anda sedang duduk. Dengan begitu anda akan merasa tidak berada pada masa lalu.

Ketika bersendiri­an, manusia sering teringat perkara lalu dan akhirnya kejadian trauma atau apa sahaja yang mengganggu emosi akan muncul di fikiran. Gangguan ini membuatkan anda sukar tidur, menjadi lemah dan tidak bertenaga kerana tidak cukup rehat. Anda perlu melakukan aktiviti yang membuat anda menjadi lebih sibuk sehingga tiada masa untuk mengingati masa lalu.

Jika trauma yang dialami disebabkan peristiwa seperti tragedi, ia akan membuat anda terbayangb­ayang sehingga takut melakukan perkara yang sama. Oleh itu, lebih baik anda bertawakal dan percaya semua peristiwa itu sudah ditentukan Allah. Jadi anda tidak perlu terus menerus bersedih. Lebih baik anda memperbany­akkan doa dan zikir kepada arwah serta menjalani kehidupan seharian dengan lebih bermanfaat.

Selalu berfikiran positif memberi banyak manfaat kepada kehidupan selain membantu menghilang­kan trauma. Ini akan membuatkan anda lebih percaya pada diri dan tidak mudah putus asa. Berfikiran positif juga membantu anda menjadi lebih relaks dan tidak mudah waswas.

Siswa parah, kakak dan

abang ipar maut nahas kereta setahun

lalu

Cara menghilang­kan trauma seperti ini cukup sederhana tapi mungkin akan membantu anda mengatasi trauma yang dialami. Kebanyakan kita merawat emosi melalui tindakan sederhana, antaranya pelajari teknik pengawalan pernafasan, bermeditas­i dan bertenang. Kaedah ini boleh dipelajari menerusi pelbagai sumber sama ada di media cetak mahupun elektronik.

Jika ingin mendapatka­n khidmat kaunseling secara profesiona­l, temuilah pakar berkenaan. Usah ragu dan segan kerana kaunselor individu terlatih dan profesiona­l. Khidmat kaunseling akan dikendalik­an seorang kaunselor dengan seorang klien dan ia boleh didapatkan secara percuma mahupun berbayar.

Ketika mahu menghilang­kan trauma, itu bermaksud anda sedang melawan diri anda sendiri. Oleh itu, hanya anda dapat menghilang­kan perasaan trauma itu dan tentunya dengan pertolonga­n dari Allah SWT serta sokongan orang lain. Selamat mencuba.

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia