Harian Metro

Isy ‘roti lantai’ kegemaran Mesir

-

Masyarakat umum mengetahui Peradaban Mesir Kuno salah satu peradaban paling maju dan kaya pernah menguasai dunia. Antara sebab kejayaan empayar ini berkembang kerana pertanian sangat subur di sepanjang Sungai Nil.

Pertanian Mesir Kuno pada waktu itu mampu menampung sara hidup rakyatnya.

Sehingga kini, sebahagian besar penduduk desa bekerja sebagai petani. Sumber pendapatan mereka dengan menjual hasil pertanian seperti gandum, barli, sayuran dan buah-buahan.

Gandum menjadi makanan ruji rakyat Mesir. Meskipun beras mudah didapati, nasi bukanlah kegemaran rakyat di sini.

Orang Mesir menggunaka­n gandum untuk membuat roti dan bubur. Pada keluaran kali ini, saya ingin berkongsi perihal sejenis makanan sangat biasa kita jumpa apabila melawat Mesir.

Isy ataupun roti sumber makanan setiap hari di Mesir dan masih mengekalka­n tradisi lama. Gandum, yis, air dan garam bahan utama membuat isy. Keenakan isy lebih dapat dirasai apabila ia dibakar di dalam ketuhar diperbuat batu bulat.

Batu bulat ini diwarisi daripada zaman lampau. Batu granit didapati daripada kawasan Aswan (sebuah tempat di Mesir) tempat biasa sumber batuan ini. Sangat berbahang apabila melalui tempat bakar isy ini.

Rasanya seperti roti tawar, hanya lebih padat dengan seratnya lebih terasa. Isy berukuran kira-kira 15 sentimeter dan berbentuk bulat berharga sangat murah. Di Mesir, kerajaan memberikan subsidi roti. Tidak hairanlah, isy sangat murah di sini. Pada awalnya kami sangat terkejut dengan harga isy ini. Satu plastik berisi 10 biji roti hanya berharga 1.5LE-2LE (RM1).

Isy mudah didapati di mana-mana sahaja di sekitar Mesir.

Setiap lorong pasti ada kedai menjual isy. Ada yang menjualnya dengan mengendong dan ada juga penjual menjunjung roti ini di atas kepala berjalan mencari pelanggan. Pasti pembaca akan terhibur dengan gelagat penjual isy sekiranya sampai ke sini. Ada yang akan menyanyi dan berteriak dengan kuat bagi menarik pelanggan.

Kali pertama kami sampai di Mesir, kami lihat isy dijual di tepi jalan sahaja dan dilonggokk­an di atas lantai beralaskan plastik. Kami agak terkejut melihat roti dilonggok sebegitu sahaja. Disebabkan itu, kami memanggiln­ya ‘roti lantai’.

Setelah setahun duduk di Mesir, baru kami berani makan isy kerana kami takut keracunan makanan. Kami perlu berhati-hati membeli isy di kedai yang diyakini kebersihan­nya.

Alhamdulil­lah setakat ini, kami baik-baik sahaja.

Apabila anda makan di restoran, isy diberi percuma. Isy enak dinikmati ketika panas dan biasanya tahan selama 3 hari. Isy ketika panas akan menggelemb­ung dan menjadikan roti ini kosong di bahagian tengahnya. Sama seperti roti lain, isy boleh dimakan pelbagai cara. Bagi masyarakat Arab di sini, mereka menikmati isy bersama kacang ful ataupun falafel.

Falafel ibarat manggeleh dan ful seperti kacang pol di Malaysia tetapi rasanya sungguh berbeza. Kalau di Malaysia, lebih rasa rempah manakala di sini rasanya agak kosong.

Selain itu, ayam bakar dan tahina (sos kacang) juga biasa dimakan bersama isy. Bagi kami, lebih menggemari memakan isy bersama kari ayam, maklumlah selera orang Malaysia.

Akhir kata, isy umpama permata rakyat Mesir. Ibarat kita orang Malaysia dan nasi berpisah tiada. Bagi pelajar Malaysia di sini, nasi masih menjadi pilihan kami walaupun isy lebih murah dan senang didapati. Usah lupa mencuba isy apabila berkunjung ke Mesir.

Penulis Pelajar Universiti Alexandria, Mesir

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia