Harian Metro

Tersadai tepi jalan

Dua perompak tinggalkan kereta curi ditahan di kios MPSJ

- Zatul Iffah Zolkiply zatuliffah@hmetro.com.my

Cubaan dua lelaki yang dikatakan ahli Geng Mat Mi melarikan diri bersama dua kereta curi ke luar Terengganu bagi mengelak daripada dikesan tidak berjaya apabila dicekup di kawasan kios Majlis Perbandara­n Subang Jaya (MPSJ), Selangor, Selasa lalu.

Kedua-dua suspek masing-masing berusia 24 dan 39 tahun ditahan sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya selepas mereka dikesan menaiki kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux yang dilaporkan hilang pada 15 Oktober lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, kedua-dua suspek berkenaan sebelum itu dilaporkan memecah masuk rumah seorang kontraktor di Taman Aquarius, di sini, pada jam 5.46 pagi, 15 Oktober lalu.

Menurutnya, mangsa berusia 48 tahun yang tidur dikatakan terjaga sebaik terdengar bunyi enjin keretanya dihidupkan sebelum melihat suspek melarikan dua kenderaan miliknya.

“Mangsa cuba keluar dari rumah tetapi gagal kerana suspek mengunci pintu rumahnya dari luar dan tindakan itu menyebabka­nnya kerugian RM230,000 apabila dua kenderaann­ya, Mercedes-Benz dan Toyota Hilux serta buku cek, lima geran kereta dan telefon bimbit dilarikan.

“Susulan laporan dibuat mangsa, gerakan mengesan suspek dijalankan sebelum polis peronda mengesan kereta Mercedes-Benz berhampira­n Plaza Tol Kuantan jam 1 tengah hari pada hari sama.

“Sebaik menyedari cukai jalan kenderaan itu sudah tamat tempoh, dua suspek meninggalk­an kenderaan berkenaan di kawasan pembinaan di Gambang, Kuantan dan pemeriksaa­n lanjut mendapati kenderaan itu dilaporkan hilang di Terengganu,” katanya ketika sidang media di IPD Marang, di sini, semalam

Wan Abd Aziz berkata, susulan hebahan dibuat, dua suspek terbabit dikesan di kawasan kios MPSJ jam 6.30 petang, Selasa lalu, sebelum polis menahan mereka serta merampas semula Toyota Hilux yang masih menggunaka­n nombor pendaftara­n asal.

Menurutnya, beberapa barangan berharga lain termasuk wang tunai berjumlah RM4,990, telefon bimbit, seutas rantai dan komputer riba turut dirampas.

Katanya, kedua-dua suspek didapati positif amphetamin­e dan mereka mengaku memecah masuk rumah serta mencuri kenderaan milik kontraktor terbabit.

“Siasatan lanjut mendapati suspek berusia 24 tahun mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan kes pecah rumah dan kita sedang menjalanka­n siasatan bagi mengenal pasti sekiranya mereka mempunyai kaitan dengan sindiket curi kereta mewah.

“Kedua-duanya direman sehingga Selasa ini (esok) untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK) kerana pecah rumah dan Seksyen 379 KK kerana curi kenderaan,” katanya.

 ??  ?? WAN Abd Aziz (kiri) memeriksa kereta yang dirampas daripada dua lelaki yang terbabit kes pecah rumah dan curi kenderaan di Bukit Chendering.
WAN Abd Aziz (kiri) memeriksa kereta yang dirampas daripada dua lelaki yang terbabit kes pecah rumah dan curi kenderaan di Bukit Chendering.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia