Harian Metro

Lori elak kereta berhenti tayar bocor

-

Sungai Buloh: Tindakan cuba mengelak sebuah kereta yang berhenti di tengah lebuh raya menjadi punca sebuah lori tiga tan terbabas sebelum merempuh kenderaan model Toyota Innova.

Kejadian jam 1 pagi semalam, di Kilometer 16.7 Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) menyebabka­n empat mangsa menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) itu maut tersepit manakala seorang lagi parah.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Mohd Zani Che Din berkata, lori tanpa muatan itu dalam perjalanan menghala ke Shah Alam.

“Sebaik tiba di lokasi, terdapat kereta Honda Accord berhenti di lorong kanan kerana mengalami tayar bocor. Pemandu lori cuba mengelak sebelum melanggar pembahagi jalan dan memasuki laluan bertentang­an.

“Pada masa sama, MPV dinaiki lima individu dari Shah Alam menghala ke Sungai Buloh tidak sempat dan bertembung,” katanya.

Difahamkan rempuhan kuat itu menyebabka­n pemandu MPV, Lim Kok Leong, 52, penumpang Kum Hoe Wan, 36, Kum Ell Vin, 32, dan Hong Ching Guan, 47, maut di lokasi akibat tersepit manakala penumpang wanita, Ho Lai Lai, 41, parah.

Mohd Zani berkata, empat mangsa lelaki yang maut dibawa ke Unit Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat manakala mangsa wanita yang parah dirawat di Hospital Sungai Buloh.

Difahamkan, pemandu lori cedera dan mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang. Menurutnya, semua ahli keluarga mangsa yang terbabit dalam kemalangan sudah dihubungi dan kes disiasat mengikut

Seksyen 41(1)

Akta Pengangkut­an Jalan (APJ) 1987.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia