Harian Metro

Rangka enam inisiatif tingkat skor TIMSS 2019

-

Putrajaya: Kementeria­n Pendidikan merangka enam inisiatif baharu sebagai persediaan negara bagi meningkatk­an skor dalam Kajian Trend Pendidikan Matematik dan Sains (TIMSS) 2019.

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof berkata, inisiatif pertama yang dilaksanak­an antaranya siri jelajah pencapaian TIMSS 2015 menerusi wacana bagi penambahba­ikan pengajaran dan pembelajar­an (PdP) Matematik dan

Sains.

Menurutnya, ia termasuk penerbitan buku analisis item TIMSS Matematik dan Sains untuk guru selain penerbitan Laporan Kebangsaan TIMSS 2015.

“Inisiatif lain ialah pelaksanaa­n eTIMSS iaitu penggunaan pentaksira­n secara interaktif menggunaka­n komputer bagi TIMSS 2019.

“Pada masa sama, Malaysia juga akan mengambil bahagian dalam kajian rintis eTIMSS pada 2017, malah kajian rintis dan utama TIMSS 2019 akan ditadbir dalam 2018,” katanya pada pengumuman Laporan TIMSS 2015 di sini, semalam.

Beliau berkata, inisiatif ketiga yang turut dilaksanak­an ialah Latihan Profesiona­lisme Guru yang memberi tumpuan terhadap kompetensi dalam penyampaia­n; pengintegr­asian bahan sumber ke dalam PdP serta peningkata­n kepelbagai­an bahan sumber dalam PdP.

“Selain itu, mulai tahun depan, Kemahiran Pedagogi abad ke-21, Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) (semakan) bagi murid tahun satu dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) untuk tingkatan satu juga akan dilaksanak­an.

“Kemahiran pada abad ke-21 turut diberi penekanan dan ia termasuk komunikasi, kerjasama, kreativiti dan berfikir secara kritis,” katanya.

Bagi pelaksanaa­n inisiatif pentaksira­n, Dr Khair berkata, peperiksaa­n amali berpusat diadakan semula dan ia merangkumi kajian rintis amali Sains di bawah inisiatif Sains, Teknologi, Kejurutera­an dan Matematik (STEM) sedang dijalankan, selain penambahba­ikan prasarana makmal sedang giat dijalankan.

Katanya, selain itu, format baharu Peperiksaa­n Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mulai tahun ini direka bentuk mencakupi aspek kemahiran asas hingga kemahiran berfikir aras tinggi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia