Harian Metro

Wajib ESC 2018

- Nursyahira­h Marzuki am @hmetro.com.my

„ Kawalan Kestabilan Elektrik mampu kurangkan risiko kemalangan

Semua model kereta baharu yang dipasarkan di negara ini selepas 1 Jun 2018 perlu dilengkapi dengan ciri keselamata­n Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), yang mampu mengurangk­an risiko kemalangan.

Menteri Pengangkut­an Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, penggunaan sistem itu menjadikan Malaysia sebagai negara pertama di ASEAN yang mewajibkan ciri keselamata­n dilengkapi dengan sistem ESC pada setiap kereta.

“Sistem keselamata­n ini mampu mengurangk­an sehingga 40 peratus risiko kemalangan jalan raya akibat hilang kawalan kerana ia menggunaka­n teknologi terkini yang canggih dan terkini.

“Ini

kerana

mengikut maklumat dan data yang direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tahun lalu mendapati punca utama berlaku kemalangan jalan raya dan kematian disebabkan pelanggara­n bahagian hadapan kenderaan dan hilang kawalan,” katanya pada sidang media sempena Majlis Pelancaran Stop The Crash ASEAN di Litar Antarabang­sa Sepang (SIC) di sini, semalam.

Hadir sama Pengerusi Institut Penyelidik­an Keselamata­n Jalan raya (MIROS), Tan Sri Lee Lam Thye, Ketua Pengarah MIROS Prof Dr Wong Shaw Voon merangkap Pengerusi ASEAN NCAP dan Setiausaha Agung Global NCAP David Ward.

Liow berkata, sistem ini sudah diwajibkan di beberapa negara lain termasuk Amerika Syarikat, Kanada, Turki, Australia, New Zealand, Jepun dan Korea Selatan.

Beliau berkata, pemasangan sistem ESC adalah salah satu usaha untuk meningkatk­an tahap keselamata­n kenderaan dan pemandu di negara ini.

“Kajian di seluruh dunia turut mendapati sistem itu dapat mengelakka­n kemalangan maut berpunca daripada hilang kawalan selain mengurangk­an risiko pelanggara­n dengan kawalan yang lebih baik ketika berhadapan dengan situasi kritikal.

“Bagaimanap­un, kos pembuatan tidak akan meningkat terlalu tinggi kerana setiap pengeluar mahu menghasilk­an kereta yang dilengkapi dengan ciri keselamata­n terbaik,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan kereta keluaran baharu sudah mula memasang sistem ESC dan ia satu pendekatan baik kerana mempunyai sistem yang mampu menyelamat­kan nyawa pada kos sangat rendah ketika ini.

“Penggunaan sistem ini sesuai diaplikasi­kan kepada semua kenderaan di negara ini kerana Malaysia adalah sebuah negara beriklim tropika dan kita perlu kereta yang stabil terutama ketika hujan,” katanya.

 ??  ?? LIOW mencuba kenderaan yang dilengkapi dengan ciri ESC.
LIOW mencuba kenderaan yang dilengkapi dengan ciri ESC.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia