Harian Metro

Herrera tekad balas dendam

-

London: Pemain tengah Manchester United Ander Herrera berkata, mereka akan cuba melunaskan dendam apabila sekali lagi melayan kunjungan West Ham di Old Trafford pada suku akhir Piala Liga, awal pagi esok. West Ham mengekang Herrera dan pasukannya 1-1 ketika aksi Liga Perdana, Ahad lalu sambil pengurus United Jose Mourinho diarah duduk di tempat penonton kerana menyepak botol air.

United melakar permulaan terburuk dalam aksi liga sejak 1989 apabila seri empat perlawanan terakhir di tempat sendiri dan Herrera pantas memberi amaran kepada skuad kendalian Slaven Bilic bahawa mereka akan bangkit mempamer aksi lebih baik.

“Cukup positif apabila kami dijadualka­n bermain pada Rabu (awal Khamis) kerana kami boleh membalas dendam secara cepat. Kami akan mengubah nasib dalam Piala Liga,” kata pemain Sepanyol itu yang menjulang Piala FA bersama United musim lalu.

“Kami tidak mahu mengira apa jenis pertanding­an, tidak kira apa jenis perlawanan kerana kami hanya mahu menang. Kami mahu melawan dan kami mahu membuatkan penyokong bangga.

“West Ham pasukan yang bagus, bukan mudah untuk menghalang mereka mencipta peluang. Mereka memiliki (Manuel) Lanzini, (Diafra) Sakho, (Dimitri) Payet, (Michail) Antonio. Mereka ada ramai pemain hebat.

“Tapi mereka hanya mencipta dua peluang ketika bertemu kami. Kami mendominas­i perlawanan dan justeru, saya harap kami boleh mencipta banyak peluang pada perlawanan selepas ini dan kami sepatutnya menang.”

United akan turun tanpa pemain tengah Paul Pogba dan Marouane Fellaini yang digantung.

Selepas masuk sebagai pemain gantian Ahad lalu, Wayne Rooney berharap namanya kembali disenaraik­an dalam kesebelasa­n utama dalam usahanya memburu gol ke-249 bersama United. AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia