Harian Metro

6 terkapai di laut lepas bot meletup

-

Kudat: “Saya mendengar dua letupan kuat sebelum melihat api menjulang ke udara.

“Tanpa berlengah, saya dan seorang anak saya bergegas lokasi itu lalu melihat enam lelaki terkapai-kapai di laut dan menarik semua mereka naik ke bot,” kata Nulodin Mohamad, 55, saksi kejadian bot karam selepas terbakar di perairan Limau-Limauan, dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, Nulodin dan anaknya, Utuh Kalikutan, 30, sempat menyelamat­kan semua mangsa yang belum dikenalpas­ti identitiny­a dan menghantar mereka ke jeti berhampira­n di sini.

Dari situ, mangsa dengan dua daripadany­a dipercayai melecur dikejarkan ke Hospital Kudat dengan menggunaka­n ambulans untuk menerima rawatan lanjut.

Difahamkan, semua mangsa kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Menceritak­an kejadian itu, Nulodin berkata, sebelum kejadian dia bersama Utuh baru sahaja selesai memukat ikan di kawasan perairan Telaga di sini dan dalam perjalanan pulang jeti di pekan Kudat.

“Ketika dalam perjalanan itu, saya terdengar dua letupan kuat dan saya menoleh ke arah belakang dan melihat api.

“Kami kemudian memecut bot untuk bergegas ke lokasi kejadian. Kira-kira 20 minit kemudian, kami tiba di lokasi dan terkejut apabila enam lelaki terkapai-kapai di laut. Ketika itu, bot mereka mereka sudah tenggelam,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurut nelayan itu, semua lelaki dalam keadaan lemah sebelum dia bersama anaknya membantu menarik mangsa masuk ke bot mereka.

“Dua daripada mangsa hanya memakai seluar dalam dan semua barangan peribadi mereka termasuk telefon bimbit gagal diselamatk­an.

“Saya kemudian memecut laju bot ke jeti pekan Kudat untuk menghantar mangsa ke Hospital Kudat. Pada masa yang sama anak saya terus menghubung­i talian kecemasan untuk meminta bantuan,” katanya.

Nulodin berkata, sebaik tiba di kawasan Esplanade di sini, semua mangsa kemudian dibawa turun sebelum dibawa oleh ambulans ke Hospital Kudat untuk rawatan lanjut.

“Ketika dalam perjalanan itu, saya cuba bertanyaka­n mengenai kejadian itu. Namun, mereka hanya mendiamkan diri kerana tidak memahami bahasa yang saya tuturkan.

“Saya tidak mengenali mereka dan kelihatan seakan-akan mereka ini bukan penduduk tempatan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, Conrad Dusi ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung perkara itu pada jam 3.15 pagi.

“Kejadian membabitka­n sebuah bot yang terbakar lalu karam dan terdapat enam mangsa yang terbabit namun mereka berjaya diselamatk­an oleh orang awam.

“Semua mangsa dihantar ke Hospital Kudat menggunaka­n ambulans untuk rawatan lanjut sebelum ketibaan anggota bomba,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Keningau Superinten­dan Douglas Nyeging Tao ketika dihubungi mengesahka­n menerima laporan mengenai kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.

“Saya belum dapat maklumat lengkap dan akan membuat sidang media esok (hari ini),” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia