Harian Metro

Dua pelari pecut negara curi tumpuan

-

Kuala Lumpur: Kemunculan dua pelari pecut sensasi negara Khairul Hafiz Jantan dan Badrul Hisham Abdul Manap mencuri tumpuan orang ramai sempena Perhimpuna­n Agung UMNO 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.

Kehadiran mereka di gerai pameran korporat Kementeria­n Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memberi peluang orang ramai beramah mesra dengan atlet kebanggaan negara itu.

Badrul Hisham, atlet kelahiran Melaka ketika ditemui berkata, dia gembira apabila diberi peluang untuk bertemu orang ramai yang meminati arena sukan khususnya olahraga.

Katanya, dia juga berharap dapat menjadi galakan dan pencetus semangat kepada golongan belia untuk mencapai kejayaan dalam bidang yang diminati termasuk sukan.

“Seperti saranan oleh Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang mahukan sukan olahraga ini dipandang tinggi, kami juga berharap demikian,” katanya.

Seorang peminat Fauzi Marwan, 38, berkata, dia gembira dapat bertemu secara dekat dengan kedua-dua atlet yang mempunyai pencapaian membanggak­an dalam arena sukan tanah air.

Guru sukan di Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Baloi, Pontian, Johor itu sentiasa mengikuti perkembang­an mereka dan berharap muridnya dapat mencapai potensi cemerlang dalam bidang sukan.

“Saya sebenarnya tahu mereka akan datang ke gerai pameran ini dan mengambil kesempatan bersama isteri, Syairatul Nadiah Abd Rahman, 30, untuk bertemu kedua-dua atlet ini.

“Selain dapat bertemu lebih dekat, saya juga dapat mencari cetusan semangat dan motivasi daripada mereka untuk diberikan kepada murid didikan di sekolah nanti,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia