Harian Metro

Tindakan terhadap pihak eksploitas­i

-

Kota Bharu: Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang mengeksplo­itasi kes penahanan Orang Asli mengikut undang-undang ditetapkan.

Ketua Polis Kelantan Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata, terdapat pihak yang cuba mengeksplo­itasi kes itu termasuk membuat viral di laman sosial hingga menimbulka­n imej kurang baik terhadap pihak polis.

Katanya, sekumpulan di antara 60 hingga 70 orang termasuk Orang Asli, parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) mengadakan perhimpuna­n di luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang selama beberapa jam, semalam.

“Mereka memasang lilin dan bergerak ke Mahkamah Gua Musang, namun tidak berlaku kekecohan. Perkara itu tidak sepatutnya berlaku dan mengesyaki ada pihak yang mengeksplo­itasi kes penahanan seramai 47 Orang Asli berkenaan.

“Kita akan mengambil tindakan tegas kepada individu terbabit. Polis hanya membantu Jabatan Perhutanan Negeri untuk memberi perlindung­an keselamata­n ketika operasi dijalankan,” katanya menerima kunjungan hormat Timbalan Ketua Polis Narathiwat Deputi Komander Rathbovorn Bumrungros di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan yang diiringi Persatuan Motor Besar BMW, semalam.

Ab Rahman berkata, berhubung Orang Asli yang ditahan, tindakan akan diambil oleh Jabatan Perhutanan mengikut aktanya.

Katanya, pihak yang membuat viral itu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana menyentuh imej polis.

“Kita juga menerima sembilan laporan polis berkaitan isu itu termasuk daripada Timbalan Ketua Polis Daerah Gua Musang, Deputi Superinten­dan Yap Sow Sing, tiga daripada Jabatan Perhutanan dan empat daripada orang awam,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia