Harian Metro

Hukuman paling berat

- Siti A’isyah Sukaimi sitiaisyah@hmetro.com.my

„ 4 lelaki lindungi PATI didenda RM480,000, dua dijel 240 bulan

Tindakan empat lelaki tempatan membenarka­n pendatang asing tanpa izin (PATI) masuk dan tinggal di premis dalam jagaan mereka membawa padah apabila mereka dijatuhkan hukuman denda RM480,000.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata, jika gagal membayar denda, mereka boleh dipenjara sembilan tahun.

Beliau berkata, hukuman dijatuhkan Hakim Mahkamah Sesyen Sepang, Selangor kelmarin mengikut Seksyen 55E (1) Akta Imigresen 1959/63 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. “Sementara dua lelaki warga Bangladesh yang mengawal dan menjadi pelindung mengikut peruntukan Seksyen 55E (1) dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 juga pertuduhan dibaca bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan dihukum penjara selama 240 bulan serta tiga kali sebatan bagi setiap seorang.

“Denda RM480,000 adalah hukuman denda paling tinggi setakat ini dalam sejarah pendakwaan Jabatan Imigresen Malaysia manakala, penjara selama 240 bulan juga paling berat pernah dijatuhkan mahkamah dalam kes kesalahan mengikut Akta Imigresen,” katanya.

Mustafar berkata, empat lelaki warga Malaysia dan dua lelaki warga Bangladesh itu melakukan kesalahan membenarka­n seramai 24 PATI untuk masuk dan tinggal di premis jagaan mereka.

Katanya, pendakwaan itu dibuat selepas didapati empat rakyat tempatan dan dua warga Bangladesh yang juga PATI dipercayai menjadi pengawal dan pelindung kepada 24 PATI yang tinggal di premis jagaan mereka.

Menurutnya, semua mereka ditahan selepas sepasukan Unit Tindakan Imigresen dari Bahagian Penguatkua­saan Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya menyerbu bangunan bertingkat di Jalan Hang Lekiu, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

“Pegawai pendakwa dari Unit Pendakwaan, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya berjaya membuktika­n kes prima facie terhadap enam yang dituduh dan mereka adalah pemilik dan penjaga premis berkenaan mencapai niat bersama dengan membenarka­n semua 24 PATI masuk, berada dan tinggal di premis dalam kawalan mereka.

“Semua tertuduh didapati mempunyai pengetahua­n iaitu semua yang dibawa masuk ke Malaysia adalah golongan imigran larangan seperti termaktub mengikut peruntukan Seksyen 8 Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

 ??  ?? MUSTAFAR
MUSTAFAR

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia