Wenger berang benteng lembik
London: Arsene Wenger menegaskan permulaan hambar Arsenal menyebabkan mereka tewas 0-2 di tangan Southampton pada suku akhir Piala Liga dan menafikan ia berpunca daripada kesilapannya memilih pemain.
Southampton akan menentang Liverpool pada separuh akhir selepas jaringan Jordy Clasie dan Ryan Bertrand membolehkan mereka mengatasi Arsenal yang menurunkan pasukan lebih lemah awal pagi semalam. Ia penampilan pertama Southampton di separuh akhir sejak 1987.
“Kami tidak bermula dengan baik di babak pertama. Kami kelihatan longgar di beberapa bahagian dan kami dihukum atas kesilapan itu,” kata Wenger.
“Kami yang menyukarkan diri sendiri. Kami tidak bertahan dengan baik dan membenarkan gol mudah ... ia antara aksi yang akan mengakibatkan kami bermain selama dua jam tanpa dapat menjaringkan gol.”
Wenger membuat 10 perubahan ke atas pasukan yang menewaskan Bournemouth minggu lalu, tetapi enggan menjadikan faktor itu sebagai punca kekalahan.
“Saya tidak fikir itulah masalahnya. Kami menurunkan pemain yang pernah beraksi di tahap tertinggi, tapi saya rasa kami tidak bermula dengan baik,” kata jurulatih berusia 67 tahun itu.
“Kami tidak cukup mengancam pada babak pertama. Pada babak kedua, lawan mula memberi tekanan dan lebih tajam berbanding kami.” - Reuters