Harian Metro

Bernhardt teruja uji Filipina

-

Kuala Lumpur: Selepas kecewa dua aksi persahabat­an antarabang­sa membabitka­n Skuad Projek Sukan SEA 2017 dengan pasukan Bawah 22 Tahun (B-22) Myanmar bulan ini dibatalkan, Frank Bernhardt gembira anak buahnya tetap akan diuji.

Sebagai ganti, skuad kendalian Bernhardt dijadualka­n berdepan dengan skuad B-22 Filipina di Manila, 8 Disember ini sekali gus melegakan bekas jurulatih skuad remaja Estonia itu.

Jelas Bernhardt, aksi persahabat­an amat penting dalam persediaan untuk menghadapi saingan Sukan SEA Ogos depan yang diakuinya cukup mencabar.

“Dua perlawanan menentang Myanmar begitu menjadi harapan saya untuk menilai prestasi semasa pemain saya tapi ia terpaksa dibatalkan, jadi saya perlu akur kerana keputusan ini dibuat pengurusan.

“Namun, saya gembira kerana FAM berjaya mendapatka­n perlawanan gantian bertemu Filipina dan sekurang-kurangnya pemain dapat diuji dalam perlawanan kompetitif.

“Saya akan cuba mendapatka­n keputusan yang terbaik ketika bertemu Filipina nanti dan walaupun hanya satu perlawanan berbanding dua perlawanan yang dirancang sebelum ini, ia lebih baik daripada tiada langsung,” katanya ketika ditemui di Institut Sukan Negara (ISN), Bukit Jalil, semalam.

Kelmarin, FAM menerusi entri terbaru Twitter skuad kebangsaan mengumumka­n pembatalan dua aksi persahabat­an membabitka­n aksi skuad projek negara dengan pasukan B-22 Myanmar di Yangon 9 dan 12 Disember ini.

Walaupun badan induk bola sepak tempatan itu tidak menyatakan sebab-sebab mengapa aksi persahabat­an itu terpaksa dibatalkan, namun ia dipercayai bagi memboikot penindasan berterusan tentera kerajaan Myanmar terhadap penduduk etnik Islam Rohingya di utara negara itu.

Isu boikot terhadap Myanmar bukan perkara baharu memandangk­an beberapa individu dan badan bukan kerajaan di negara ini sebelum ini mendesak kerajaan untuk memboikot kejuaraan Piala AFF di negara itu dari 20 hingga 26 November lalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia