Harian Metro

PEMANDU JUJUR SERAH RM1,000

„ Pemandu jujur pulang wang kepada penumpang tertinggal dalam teksi viral di media sosial

- Mohd Hilmi Mahmud am@hmetro.com.my

“Memang kerap berlaku penumpang tertinggal barang berharga mereka dalam teksi dan saya pulangkan semula walaupun terpaksa berpatah balik ke tempat saya turunkan mereka,” kata pemandu teksi Penang Cab7, Muhammad Yusuf Chik, 49, semalam.

Kejujuran beliau menjadi viral selepas memulangka­n wang tunai RM1,000 kepada seorang penumpang di Terminal Bas Sungai Nibong, di sini, Selasa lalu.

Yusuf berkata, jam 10 malam Selasa lalu ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari Sungai Pinang selepas makan, seorang lelaki berusia 40-an menahan teksinya.

“Saya ingin pulang ke rumah di Sungai Ara dan ketika melalui Jalan Sungai Pinang seorang lelaki menahan teksi.

“Dia meminta menghantar­nya ke Sungai Nibong untuk menaiki bas persiaran pulang ke rumahnya,” katanya. Yusuf berkata, sebaik sampai di Sungai Nibong lelaki itu membayar tambang sebelum keluar dari teksi dan terus masuk ke terminal bas. Bagaimanap­un, selepas lelaki itu turun, Yusuf ternampak seikat wang tunai not RM100 di bahagian tempat duduk di belakang teksinya dan dia terus mengambiln­ya sebelum masuk ke terminal bas untuk mencari lelaki berkenaan.

“Selepas ternampak wang itu, saya berpatah balik ke terminal bas dan mencari lelaki terbabit untuk memulangka­n wangnya.

“Alhamdulil­lah, saya sempat bertemu lelaki itu dan memulangka­n wangnya yang tertinggal dalam teksi. Saya dapat lihat riak wajahnya lega selepas mendapat semula wangnya itu,” katanya.

Yusuf berkata, lelaki itu berterima kasih kepadanya dan bertuah dapat mengenali pemandu teksi seperti beliau yang amanah dan jujur.

Menurutnya, sejak kecil dia dididik ibu bapa supaya tidak mengambil barang bukan miliknya.

“Walaupun ibu bapa saya sudah tiada, saya sentiasa ingat nasihat dan pesanan mereka. Malah, sepanjang 19 tahun menjadi pemandu teksi, saya pernah menghantar warga emas tanpa mengenakan bayaran berikutan dia mendakwa tiada wang.

“Saya anggap ia sedekah kepada warga emas berkenaan yang kelihatan seperti orang susah,” katanya.

Kisah kejujuran Yusuf memulangka­n wang RM1,000 itu viral di media sosial sejak kelmarin apabila pemilik wang berkenaan menyebarka­n kejadian itu di Facebook.

Lelaki terbabit memuji pemandu teksi berkenaan yang amanah dan jujur dalam menjalanka­n tugasnya sebagai pemandu teksi.

 ??  ??
 ?? FOTO: ?? MUHAMMAD Yusuf menunjukka­n tempat dia menemui wang penumpang yang tertinggal dalam teksi.
FOTO: MUHAMMAD Yusuf menunjukka­n tempat dia menemui wang penumpang yang tertinggal dalam teksi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia