Harian Metro

LARI DAMBA KASIH IBU

- Mohd Rizal Abdullah mohd.rizal@hmetro.com.my

„ Dua beradik diserah kepada waris tak jumpa jalan pulang selepas larikan diri

Dua beradik yang tidak sanggup berpisah dengan ibu bapa mereka nekad melarikan diri daripada jagaan ibu saudara sebelum ditemui di sebuah masjid di Piasau di sini, semalam.

Difahamkan, kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dan lelaki berusia tujuh tahun itu diserahkan kepada ibu saudara mereka, jam 2 petang kelmarin, kerana ibu bapa kanak-kanak itu mendakwa tidak mampu menjaga mereka lagi.

Sumber berkata, dua beradik itu dikatakan keluar daripada rumah ibu saudara mereka yang berusia 38 tahun di Piasau, jam 5 petang, pada hari sama selepas diserahkan ibu bapa mereka.

Bagaimanap­un, katanya, niat kanak-kanak terbabit untuk kembali ke pangkuan ibu bapa yang menetap di kawasan sama tidak kesampaian selepas gagal menemui jalan pulang ke rumah keluarga mereka.

“Akibat kepenatan, dua beradik itu tidur semalaman di pasar di Krokop sebelum mereka ke masjid di Piasau.

“Keluarga kanak-kanak itu melakukan pencarian sebelum menemui mereka di kawasan masjid berkenaan,” katanya.

Sumber berkata, selain dua beradik itu, ibu bapa mereka menyerahka­n tiga anak yang lain kepada ahli keluarga untuk penjagaan.

“Ibu bapa lima beradik ini dikatakan mengalami masalah kewangan, tambahan pula bapa mereka tidak lagi bekerja,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Superinten­dan Stanley Jonathan Ringgit ketika dihubungi berkata, kedua-dua kanak-kanak terbabit dibawa ke Hospital Miri.

“Kes akan disiasat mengikut Akta Kanak-Kanak 2011. Kanak-kanak terbabit kini di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Miri untuk sementara sebelum diputuskan hak penjagaan mereka,” katanya.

 ??  ??
 ??  ?? KANAK-KANAK yang ditemui di sebuah masjid di Piasau, Miri, semalam.
KANAK-KANAK yang ditemui di sebuah masjid di Piasau, Miri, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia