Harian Metro

Inisiatif MySaveFood bantu negara

-

Inisiatif MySaveFood yang dikendalik­an Institut Penyelidik­an dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bukan saja bertujuan mengurangk­an kehilangan dan pembaziran makanan, namun turut membantu negara menjimatka­n jumlah import makanan dan kos pengurusan sisa pepejal.

Ketua Sekretaria­t Jaringan MySaveFood yang juga Timbalan Pengarah Program Jaringan Antarabang­sa, Pusat Komunikasi Korporat dan Kualiti MARDI, Dr Ainu Husna MS Suhaimi berkata, kehilangan dan pembaziran makanan adalah isu yang berlaku di seluruh dunia.

“Masalah ini tidak hanya berlaku di Malaysia sebaliknya, ia berlaku di seluruh dunia. Namun, ia bergantung kepada tahap kesedaran pengguna untuk memastikan masalah ini dapat dikurangka­n,” katanya pada Pameran Pertanian, Hortikultu­r dan Agro Pelanconga­n Malaysia 2016 (MAHA 2016), di sini, semalam.

Menurutnya, kira-kira 30 hingga 50 peratus makanan seperti buah-buahan dan sayur-sayuran yang dihantar dari ladang berdepan masalah hilang yang disebabkan faktor teknikal seperti mesin dan ruang simpanan.

“Bagi padi, kira-kira 28.5 peratus komoditi berkenaan akan hilang sebelum ia sampai ke kedai untuk dijual. Masalah ini berlaku disebabkan banyak faktor termasuk pengangkut­an yang kurang berkesan. Ini menyebabka­n kerugian kepada negara sehingga RM900 juta setahun,” katanya.

Menurutnya, selain masalah makanan hilang, pembaziran juga menjadi isu utama yang perlu diketengah­kan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia