Harian Metro

AMUK TIKAM JIRAN

- Fardy@hmetro.com.my

„ Polis gagal pujuk lelaki kurang siuman lepaskan dua das tembakan pistol renjatan elektrik

Anggota polis terpaksa melepaskan dua das tembakan pistol renjatan elektrik terhadap seorang lelaki kurang siuman yang menikam jirannya sebelum mengamuk.

Dalam kejadian jam 4 petang semalam, suspek berusia 34 tahun gagal dipujuk polis yang mahu menahannya di Taman Cheras Jaya, di sini.

Penahanan lelaki itu dilakukan susulan tindakan agresif suspek menikam seorang jirannya berusia 31 tahun jam 4.30 pagi hari sama.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Othman Nanyan berkata, insiden berlaku ketika mangsa berbual bersama adiknya di luar rumah.

Bagaimanap­un suspek tiba-tiba muncul membawa pisau dalam keadaan marah menyebabka­n berlaku pergelutan.

“Ketika itulah suspek menikam mangsa di bahagian dada. Suspek melarikan diri manakala mangsa dihantar ahli keluargany­a ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz untuk mendapatka­n rawatan.

“Mangsa dilaporkan stabil tetapi masih ditempatka­n di zon merah hospital sama,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, beberapa laporan polis pernah dibuat terhadap suspek yang selalu mengganggu masyarakat sekitar kawasan perumahan itu.

“Ahli keluarga suspek yang ditemui memberitah­u bahawa suspek mempunyai masalah mental dan sudah lebih setahun tidak mendapat rawatan di hospital.

“Anggota polis yang gagal memujuk suspek melepaskan tembakan menggunaka­n pistol renjatan elektrik selepas lelaki itu melawan dan cuba menyerang polis.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan suspek dirujuk kepada pakar sakit jiwa di Hospital Kuala Lumpur,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia